Arca Ruthless Trust (Percaya Sepenuhnya) yang diukir dengan mahir oleh seniman Doug Merkey memaparkan susuk tubuh manusia yang bersungguh-sungguh berpaut pada kayu salib yang diperbuat daripada kayu walnut. Dia menulis, “Ini merupakan satu pernyataan yang sangat sederhana dan wajar bagi hidup manusia—keintiman dan kebergantungan yang sungguh-sungguh pada Kristus dan Berita Baik.”
Itulah kepercayaan yang kita lihat dalam tindakan dan perkataan seorang perempuan yang tidak bernama dalam Markus 5:25-34. Selama 12 tahun hidupnya berada dalam keadaan kucar-kacir (ayat 25). “Dia sudah menghabiskan segala hartanya untuk membayar rawatan doktor, tetapi dia tidak sembuh, malahan semakin parah keadaannya” (ayat 26). Tetapi setelah mendengar tentang Yesus, dia berusaha untuk datang kepada-Nya, menyentuh-Nya, lalu “dirinya sudah sembuh” (ayat 27—29).
Adakah anda sudah berputus asa? Adakah anda sudah kehabisan semua sumber anda? Orang yang bimbang, tanpa harapan, sesat dan menderita tidak perlu berputus asa. Tuhan Yesus masih memberikan respons kepada mereka yang benar-benar memiliki iman—iman yang ditunjukkan oleh wanita yang menderita ini dan digambarkan dalam arca Merkey. Iman ini dimasukkan dalam kata-kata lagu pujian yang ditulis oleh Charles Wesley: “Bapa, aku mengangkatkan tangan aku kepada-Mu; tidak ada pertolongan lain yang aku tahu selain Engkau.” Tidak memiliki iman seperti itu? Mintalah agar Tuhan menolong anda mempercayai-Nya. Lagu pujian Wesley diakhiri dengan doa ini: “Pemimpin iman, kepada-Mu aku serahkan keletihan aku, mata yang mengharap; Semoga sekarang aku menerima anugerah ini! Jiwa aku, tanpanya aku pasti mati.”
ILHAM
Wanita dalam Markus 5:25-34 yang “menderita penyakit pendarahan teruk yang berkaitan dengan haidnya selama dua belas tahun,” mengambil risiko dengan menghulurkan tangan untuk menyentuh Yesus. Menurut hukum Yahudi, pendarahan membuat seseorang tidak suci. Wanita ini kemungkinannya dipulaukan oleh masyarakat kerana mereka yang berhubung dengan dia juga akan menjadi tidak suci. Ramai orang menganggap tindakan wanita itu yang menyentuh Yesus sepatutnya membuatkan Dia tidak suci, tetapi Yesus pula menyembuhkan wanita itu. Maka, ini memperlihatkan iman wanita itu adalah besar.Bagaimanapun, pada saat wanita itu mengakui menyentuh Yesus, Dia mengumumkan, “kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh” (ayat 33-34). Terjemahan perkataan “sembuh” (sozo) menandakan penyembuhan fizikal dan pemulihan hubungan dengan Tuhan. Iman wanita itu menyembuhkannya dari segi fizikal dan memberinya kehidupan kekal.