Kami berjumpa pada setiap Khamis setelah dia kehilangan isterinya dalam satu kemalangan jalan raya. Kadangkala dia datang dengan persoalan yang tiada jawapan; ada kalanya dia menceritakan kenangan tentang isterinya. Setelah beberapa waktu berlalu, dia menerima hakikat bahawa kemalangan itu merupakan akibat daripada kerosakan di dunia kita, namun Tuhan tetap bekerja di tengah-tengahnya. Beberapa tahun kemudian, dia mengajar mengenai kesedihan dan cara untuk menghadapi ratapan dengan baik di gereja kami. Tidak lama kemudian, dia menjadi pembimbing bagi orang yang mengalami kehilangan. Kadangkala ketika kita merasakan seolah-olah tiada apa pun yang cukup untuk diberikan, Tuhan mengambil “kekurangan” kita itu dan menjadikannya “lebih daripada mencukupi.”

Yesus menyuruh pengikut-pengikut-Nya memberikan makanan kepada orang ramai. Namun mereka menjawab bahawa mereka tiada makanan; Yesus menggandakan bekalan makanan yang sedikit, kemudian berpaling kepada mereka dan berkata, “Sebaiknya kamu beri mereka makanan” (Lukas 9:13-16). Kristus akan melakukan mukjizat, tetapi Dia sentiasa memilih untuk melibatkan kita.

Yesus berkata kepada kita, “Serahkan dirimu seadanya dan segala milikmu ke dalam tangan-Ku. Hidupmu yang hancur. Kisahmu. Kelemahan dan kegagalanmu, kesengsaraan dan penderitaanmu. Letakkan ke dalam tangan-Ku. Kamu akan kagum dengan segala yang dapat Aku lakukan.” Yesus mengetahui bahawa dalam kekosongan kita, Dia dapat memberikan kelimpahan. Dalam kelemahan kita, Dia mampu menunjukkan kekuatan-Nya.