Semasa menghentikan kereta di halaman rumah, saya melambai-lambai jiran saya, Myriam dan anak perempuan kecilnya, Elizabeth. Selama bertahun-tahun, Elizabeth telah biasa dengan sembang spontan kami yang berlanjutan lebih lama daripada “beberapa minit”, dan perlahan-lahan bertukar menjadi perjumpaan untuk berdoa. Elizabeth memanjat pokok yang ditanam di tengah-tengah halaman depan mereka, menjuntaikan kakinya di atas cabang pokok, dan bermain seorang diri semasa ibunya dan saya bersembang. Selepas seketika, Elizabeth melompat turun dari tempat duduknya dan berlari ke tempat kami berdiri. Dia memegang tangan kami, tersenyum dan hampir menyanyi, “Masa untuk berdoa … lagi.” Walaupun masih kecil, Elizabeth nampaknya memahami betapa pentingnya doa dalam persahabatan kami.
Selepas mendorong orang percaya untuk membina “kekuatan [mereka] dengan menerima kekuatan daripada kuasa Tuhan” (Efesus 6:10), rasul Paulus memberikan pandangan khusus mengenai kepentingan doa yang berterusan. Dia menerangkan perisai yang diperlukan oleh umat Tuhan dalam perjalanan rohani mereka dengan Tuhan, yang memberikan perlindungan, pengertian, dan keyakinan dalam kebenaran-Nya (ayat 11-17). Bagaimanapun, rasul Paulus menekankan bahawa kekuatan yang diberikan Tuhan ini bertumbuh daripada penglibatan secara giat dalam doa (ayat 18-20).
Tuhan mendengar dan mempedulikan kebimbangan kita, sama ada ia disuarakan dengan berani, disuarakan secara diam-diam dengan tangisan, atau tersimpan jauh dalam hati yang terluka. Dia sentiasa bersedia menjadikan kita kuat dalam kuasa-Nya, apabila Dia menjemput kita berdoa selalu.