“Ayah, terima kasih untuk makan malam ini,” kata saya sambil meletakkan serbet di atas meja restoran. Saya kembali ke rumah sewaktu cuti universiti dan selepas tidak tinggal di rumah untuk beberapa waktu, saya berasa kekok kerana ibu bapa membayar bil untuk saya. Ayah saya berkata, “Sama-sama, Julie, tetapi kamu tidak perlu mengucapkan terima kasih untuk segalanya. Saya tahu, kamu dapat hidup berdikari, tetapi kamu masih anak perempuan saya dan ahli keluarga ini.” Saya tersenyum. “Terima kasih, ayah.”

Dalam keluarga saya, saya belum melakukan apa-apa untuk mendapatkan kasih ibu bapa atau minta mereka melakukan sesuatu untuk saya. Tetapi kata-kata ayah mengingatkan bahawa saya juga belum melakukan apa-apa untuk layak menjadi anggota keluarga Tuhan.

Dalam kitab Efesus, Paulus memberitahu para pembaca bahawa Tuhan memilih mereka “menjadi suci dan tidak bercela di hadirat-Nya” (1:4), atau untuk hidup murni di hadapan-Nya (5:25-27). Tetapi perkara ini hanya dapat berlaku melalui Yesus, kerana “Dalam-Nya kita mendapat penebusan melalui darah-Nya, pengampunan dosa, menurut limpah kasih kurnia-Nya” (1:7) [AVB]. Kita tidak perlu melakukan apa-apa untuk mendapatkan rahmat, pengampunan, atau kemasukan ke dalam keluarga-Nya. Kita hanya perlu menerima pemberian-Nya yang percuma.

Apabila kita menyerahkan hidup kita kepada Yesus, kita menjadi anak-anak Tuhan. Ini bermaksud kita menerima kehidupan kekal dan memiliki warisan yang menunggu kita di syurga. Puji Tuhan kerana Dia menawarkan pemberian yang begitu indah!