Julio sedang menunggang motosikal di sepanjang Jambatan George Washington—sebuah jalan raya dua tingkat yang sibuk dan menyambungkan bandar New York dan New Jersey—di sini dia menyaksikan situasi hidup dan mati. Seorang lelaki berdiri di atas tebing Sungai Hudson dan bersiap untuk melompat. Memandangkan polis tidak akan sempat tiba, Julio bertindak cepat. Dia mengimbas kembali saat dia meninggalkan motosikalnya, dia melebarkan tangannya lalu berkata dengan kuat: “Jangan buat begitu. Kami sayang awak.” Kemudian, seperti seorang gembala dengan tongkat, dia memegang lelaki yang gelisah itu dan dengan bantuan seorang yang lalu di situ, mereka membawanya ke tempat yang selamat. Menurut laporan, Julio masih memegang erat lelaki itu walaupun dia sudah selamat.
Lebih daripada 2,000 tahun yang lalu, dalam keadaan hidup dan mati, Yesus, Gembala yang Baik, berkata bahawa Dia akan mengorbankan nyawa-Nya untuk menyelamatkan kita dan tidak akan melepaskan tangan orang yang percaya kepada-Nya. Dia merumuskan berkat kepada domba-domba-Nya: mengenal Dia secara peribadi, mempunyai kehidupan kekal, tidak akan binasa, dan akan selamat dalam penjagaan-Nya. Keselamatan ini tidak bergantung pada domba yang lemah, melainkan Gembala yang tidak akan membiarkan satu pun domba dirampas daripada tangan-Nya (Yohanes 10:28–29).
Apabila kita berasa gelisah dan merasakan tiada harapan, Yesus akan menyelamatkan kita; kini kita dapat berasa selamat dan terjamin dalam hubungan kita dengan Dia. Dia mengasihi kita, mengejar kita, mencari kita, menyelamatkan kita dan berjanji bahawa Dia tidak akan melepaskan tangan kita.