Adat perkahwinan orang Rusia dipenuhi dengan keindahan dan maknanya tersendiri. Dalam satu majlis perkahwinan yang mengamalkan adat ini, pengacara majlis mengajukan minum ucap selamat bagi pasangan pengantin. Semua orang akan mengangkat gelas mereka dan berteriak, “Gor’ko! Gor’ko!” yang bermaksud “Pahit! Pahit!” Semasa para hadirin menyorakkan kata-kata itu, pasangan pengantin harus berdiri dan mencium satu sama lain sebagai lambang bahawa minuman itu menjadi manis semula.
Yesaya bernubuat bahawa ”minuman pahit” (kesengsaraan) yang disebabkan oleh kemusnahan, kehancuran dan kutukan ke atas bumi (fasal 24) akan membuka jalan bagi harapan yang manis akan syurga dan bumi yang baru (fasal 25). Tuhan akan mempersiapkan jamuan dengan makanan yang lazat serta minuman yang terbaik dan paling manis. Ia akan menjadi jamuan yang penuh dengan berkat, kesuburan dan penyediaan yang berterusan bagi semua orang (25:6). Selain itu, ada banyak lagi berkat yang kita akan nikmati. Di bawah pemerintahan Raja yang benar, tiada lagi kematian, air mata dihapuskan dan kehinaan dihilangkan (ayat 7–8). Umat-Nya akan bersukacita kerana Tuhan yang dipercayai dan dinantikan oleh mereka akan membawa penyelamatan dan menukarkan cawan kehidupan yang pahit menjadi manis semula (ayat 9).
Pada suatu hari nanti, kita akan bersama dengan Yesus di jamuan perkahwinan Anak Domba. Ketika Dia menyambut pengantin perempuan-Nya (jemaah), janji dalam Yesaya 25 akan digenapi. Hidup yang sebelumnya pahit akan menjadi manis semula.