Pertanian sukar dilakukan di kawasan yang kekurangan air tawar. Untuk membantu menyelesaikan masalah ini, Syarikat Seawater Greenhouse telah mencipta sesuatu yang baru: “rumah dingin” di Somaliland, Afrika, dan negara-negara lain yang beriklim sama. Rumah dingin menggunakan tenaga suria untuk mengepam dan memercikkan air masin pada dinding yang diperbuat daripada kadbod beralun-alun. Apabila air mengalir ke bawah setiap papan panel, ia akan meninggalkan garamnya. Sebahagian besar baki air tawar tersejat di dalam struktur itu, yang menjadi tempat lembap bagi pertumbuhan buah dan tanaman sayur.
Melalui nabi Yesaya, Tuhan berjanji untuk melakukan “perkara baru” sebagaimana Dia menyediakan “anak-anak sungai di padang pasir” bagi bangsa Israel kuno (Yesaya 43:19). Perkara baru ini berbeza dengan perkara lama yang dilakukan-Nya untuk menyelamatkan umat-Nya daripada askar Mesir. Adakah anda masih ingat peristiwa Laut Gelagah? Tuhan mahu umat-Nya mengingati peristiwa lalu tetapi tidak mengabaikan penglibatan-Nya dalam kehidupan mereka pada hari ini (AYAT 18). Dia berkata, “Lihatlah, Aku sudah pun memulakannya. Aku akan membina jalan di padang gurun” (AYAT 19).
Walaupun mengimbas kembali waktu silam dapat meningkatkan iman kita terhadap penjagaan Tuhan, hidup pada waktu silam akan membutakan kita terhadap semua pekerjaan baru Roh Kudus pada hari ini. Kita boleh berseru kepada Tuhan untuk menunjukkan kepada kita bagaimana Dia bekerja pada ketika ini—membantu, memperbaharui, dan menguatkan umat-Nya. Semoga kesedaran ini mendorong kita bekerjasama dengan-Nya untuk memenuhi keperluan orang lain, baik yang dekat mahupun yang jauh.
ILHAM
Setengah bahagian pertama dalam kitab Yesaya (fasal 1–39) banyak memfokuskan hukuman Tuhan terhadap Israel, yang telah digenapi melalui Asyur dan Babilonia. Setengah bahagian kedua (fasal 40–66) pula menyingkapkan harapan dan pemulihan yang dijanjikan Tuhan.Yesaya 43:14-21 membandingkan pemulihan umat Tuhan yang dalam pembuangan dengan pembebasan mereka dari Mesir pada masa dahulu. Walau bagaimanapun, ayat-ayat itu menunjukkan keselarasan antara pembebasan yang akan berlaku dan peristiwa Keluaran (seperti “membina jalan di padang gurun” ayat 19), ia juga mengarahkan orang Israel supaya “jangan kenang perkara yang sudah-sudah” (ayat 18). “Perkara baru” (ayat 19) yang akan dilakukan oleh Tuhan untuk mereka adalah lebih luar biasa daripada peristiwa pembebasan yang pertama.
Layarilah ChristianUniversity.org/OT510 (bahasa Inggeris) untuk belajar selanjutnya tentang kitab Yesaya.