Semasa Perang Saudara Amerika, hukuman bagi meninggalkan medan perang tanpa izin ialah hukuman mati. Namun tentera pihak Kesatuan jarang menjatuhkan hukuman mati kerana panglima besar mereka, Abraham Lincoln, memaafkan hampir kesemua mereka. Ini menyebabkan Setiausaha Perang, Edwin Stanton sangat marah, kerana dia percaya bahawa sikap lembut Lincoln hanya akan menyebabkan lebih banyak pembolos tentera. Namun Lincoln berasa empati terhadap tentera yang telah kehilangan semangat dan menyerah kepada ketakutan di tengah-tengah kehangatan perang. Tindakan Lincoln membuat dia disayangi oleh askarnya. Mereka mengasihi “Bapa Abraham” mereka, dan kasih ini mendorong askarnya terus berkhidmat untuk Lincoln dengan giat.
Apabila Paulus memanggil Timotius untuk “turut menderita sebagai askar Kristus Yesus yang setia” (2 Timotius 2:3), dia memanggilnya untuk melaksanakan tugas yang sukar. Seorang askar seharusnya berdedikasi sepenuhnya, rajin dan tidak mementingkan diri sendiri. Dia harus melayani panglimanya, Yesus, dengan sepenuh hati. Namun hakikatnya, kita kadang-kadang gagal untuk menjadi askar-Nya yang baik. Kita tidak selalu melayaninya dengan setia. Oleh itu, ungkapan pembukaan Paulus adalah penting: “Kuatkanlah dirimu dengan rahmat-Nya” (AYAT 1). Penyelamat kita penuh dengan rahmat. Dia berasa empati dan memaafkan kelemahan kita (Ibrani 4:15). Seperti askar pihak Kesatuan yang terdorong oleh belas kasihan Lincoln, orang Kristian juga dikuatkan oleh rahmat Yesus. Kita mahu melayani-Nya dengan lebih giat kerana kita tahu Dia mengasihi kita.