Menurut para ahli sejarah, Zaman Atom bermula pada 16 Julai 1945, ketika senjata nuklear pertama diletupkan di sebuah padang gurun yang terpencil di New Mexico, Amerika Syarikat. Tetapi ahli falsafah Yunani, Democritus (kira-kira 460–370 SM), sudah menerokai kewujudan kuasa atom lama sebelum penciptaan alat yang dapat memerhatikan elemen-elemen kecil di alam semesta. Democritus memahami lebih daripada yang dapat dilihatnya dan teori atom adalah hasil daripada pemerhatiannya.
Alkitab mengatakan bahawa dasar iman kita adalah percaya kepada apa yang tidak dapat dilihat. Ibrani 11:1 mengesahkan, “Beriman bererti yakin sungguh-sungguh akan perkara-perkara yang diharapkan, dan mempunyai kepastian akan perkara-perkara yang tidak dapat kita lihat.” Keyakinan ini bukanlah hasil daripada harapan ataupun pemikiran positif. Ia adalah keyakinan kepada Tuhan yang tidak dapat kita lihat, dan kewujudan-Nya merupakan keberadaan yang paling benar di alam semesta ini. Kewujudan-Nya yang benar ditunjukkan melalui pekerjaan-Nya yang kreatif (Mazmur 19:2), serta dapat dilihat melalui sifat dan jalan Anak-Nya iaitu Yesus yang telah datang untuk memperlihatkan kasih Bapa kepada kita (Yohanes 1:18).
Dalam Tuhan, “kita hidup dan bergerak dan ada di dunia ini” seperti yang dikatakan oleh rasul Paulus (Kisah Rasul-Rasul 17:28). Maka seharusnya “hidup [kita] berdasarkan kepercayaan kepada Kristus, dan bukan berdasarkan apa yang dapat dilihat” (2 Korintus 5:7). Kita tidak berjalan sendirian. Tuhan yang tidak kelihatan menemani kita sepanjang hidup.