Dalam lerang komik Peanuts, Lucy yang mempunyai minda usahawan telah mengiklankan “perkhidmatan psikiatri” dengan harga 5 sen. Linus pun pergi ke pejabat Lucy dan menyuarakan “kemurungannya yang dalam.” Apabila dia bertanya apa yang dapat dilakukannya untuk mengubah keadaan itu, Lucy segera menjawab, “Keluar daripada kemurungan! Sila bayar 1 ringgit, terima kasih.”
Sementara hiburan seperti itu membuat kita tersenyum sejenak, kesedihan dan kesusahan yang mencengkam kehidupan nyata kita tidaklah mudah dilalui. Perasaan yang putus asa dan tiada harapan adalah nyata, dan kadangkala bantuan profesional adalah diperlukan.
Nasihat Lucy tidak dapat menangani keperitan yang sebenar. Bagaimanapun, penulis Mazmur 88 memberikan ajaran dan harapan kepada kita. Ada banyak masalah yang menimpanya. Oleh itu, dengan hati yang tulus, dia mencurahkan isi hatinya kepada Tuhan. “Begitu banyak kesusahan menimpa aku; maut sudah di ambang pintu” (ayat 4). “Engkau telah membuang aku ke kubur yang dalam, ke dalam lubang yang paling gelap dan dalam” (ayat 7). “Engkau menyebabkan sahabat karibku meninggalkan aku; hanya kegelapan yang menemani aku” (ayat 19). Kita mendengar, merasakan dan mungkin dapat memahami kesakitan Pemazmur. Tetapi kita terlepas pandang sesuatu dalam mazmur ini. Ratapannya bertalikan harapan. “Ya TUHAN, Allah yang menyelamatkan aku, pada waktu siang aku berseru kepada-Mu, pada waktu malam aku datang ke hadapan-Mu. Dengarkanlah doaku; dengarkanlah seruanku minta tolong” (ayat 2–3; lihat ayat 10, 14). Kesusahan pasti akan menimpa hidup kita dan langkah-langkah praktikal seperti nasihat dan rawatan perubatan mungkin diperlukan. Tetapi jangan berhenti berharap kepada Tuhan.