Di Papua New Guinea, suku Kandas menanti dengan teruja kerana ketibaan Alkitab Perjanjian Baru yang dicetak dalam bahasa mereka. Bagaimanapun, untuk sampai ke perkampungan itu, pelawat yang membawa Alkitab harus melalui lautan dengan bot kecil.

Apakah yang memberi mereka keberanian untuk merentasi lautan yang luas? Sudah tentunya, kemahiran pelayaran mereka. Tetapi mereka juga tahu siapa yang menciptakan lautan, iaitu Tuhan. Dia yang memimpin kita merentasi perairan yang paling dalam dan gelombang hidup kita.

Seperti yang dituliskan oleh Daud, “Ke manakah aku dapat pergi untuk menjauhkan diri daripada-Mu?” (Mazmur 139:7). “Jika aku pergi ke syurga, Engkau di sana; … atau tinggal di hujung barat yang paling jauh, di sana juga Engkau akan memimpin aku, dan di sana pun Engkau akan menolong aku” (ayat 8–10).

Kata-kata ini menggemakan keadaan orang Kandas yang tinggal di negara kepulauan. Pantai-pantai tropika, hutan hujan yang padat, dan gunung-ganang berceranggah di negara itu memberi namanya “Tempat Terakhir yang Tidak Diketahui”. Tetapi orang percaya di situ dan di mana-mana sahaja mengetahui bahawa tiada tempat yang terlalu terpencil bagi Tuhan, sebagaimana dikatakan dalam Mazmur 139:12, “namun bagi-Mu kegelapan itu tidak gelap, dan malam itu cerah seperti siang. Bagi-Mu gelap dan terang sama sahaja.”

Di lautan yang bergelora, Tuhan kita berkata, “Diam! Tenanglah!” Maka angin pun reda dan tasik menjadi amat tenang (Markus 4:39). Oleh itu, janganlah gentar menghadapi lautan dalam atau gelora dalam hidup ini. Tuhan akan memimpin kita sehingga kita sampai ke darat dengan selamat.