Setelah Yuri Gagarin menjadi manusia pertama ke angkasa lepas, dia mendarat di kawasan luar bandar Rusia dengan menggunakan payung terjun. Seorang peladang wanita ternampak angkasawan Rusia yang berpakaian oren dan masih memakai topi keledar serta menarik dua payung terjun itu. “Adakah kamu berasal dari luar angkasa?” dia bertanya dengan terkejut. “Sebenarnya, ya,” jawab Yuri.
Sedihnya, para pemimpin Soviet menjadikan penerbangan angkasa lepas yang bersejarah itu sebagai propaganda anti agama. “Gagarin pergi ke angkasa, tetapi dia tidak menjumpai tuhan di sana,” kata pemimpin utama mereka. (Gagarin sendiri tidak pernah mengatakan perkara seperti itu). Seperti yang diperhatikan oleh C. S. Lewis, “Orang yang tidak menemui Tuhan di bumi, tidak mungkin menemui-Nya di angkasa lepas.”
Yesus memberi amaran kepada kita tentang hal mengabaikan Tuhan. Dia menceritakan kisah tentang dua lelaki yang telah meninggal iaitu seorang kaya yang tidak mempedulikan Tuhan, dan Lazarus seorang miskin yang hidup melarat tetapi memiliki iman (Lukas 16:19–31). Dalam kesengsaraan, lelaki kaya itu merayu kepada Abraham bagi pihak saudara-saudaranya yang masih di bumi supaya menghantar Lazarus kepada mereka. “Jika ada seorang bangkit daripada kematian lalu datang kepada mereka, tentu mereka akan bertaubat daripada dosa” (ayat 27, 30). Abraham menyentuh akar masalah tersebut: “Jika mereka tidak mendengarkan ajaran Musa dan nabi-nabi, mereka tidak akan percaya juga sekalipun ada orang bangkit daripada kematian” (ayat 31).
“Melihat tidak semestinya percaya,” tulis Oswald Chambers. “Kita mentafsir apa yang kita lihat berdasarkan apa yang kita percaya.”