Selama 14 tahun, “rover” atau kenderaan penerokaan angkasa di planet Marikh, Opportunity tidak pernah berhenti untuk berkomunikasi dengan para saintis di Makmal Perejangan Jet NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan). Setelah Opportunity mendarat pada tahun 2004, ia telah merentasi 45 kilometer di permukaan Marikh, mengambil ribuan imej dan menganalisis banyak bahan. Tetapi pada tahun 2018, komunikasi antara Opportunity dengan para saintis berakhir apabila ribut debu kencang meliputi panel surianya, sehingga “rover” kehilangan tenaga.
Mungkinkah kita juga boleh membiarkan “debu” menghalang komunikasi kita dengan Pencipta alam semesta? Ketika kita berdoa—komunikasi dengan Tuhan—terdapat perkara-perkara tertentu yang dapat menghalangnya.
Alkitab menyatakan bahawa dosa akan menghalang hubungan kita dengan Tuhan. “Andaikata aku membiarkan dosa dalam hatiku, pasti Tuhan tidak akan mendengar aku” (Mazmur 66:18). Yesus mengajar, “Apabila kamu berdiri untuk berdoa, ampunkanlah kesalahan sesiapa pun, supaya Bapa kamu yang di syurga juga akan mengampunkan dosa kamu” (Markus 11:25). Komunikasi kita dengan Tuhan juga akan terhalang oleh keraguan dan masalah hubungan kita dengan orang lain (Yakobus 1:5-7; 1 Petrus 3:7).
Komunikasi dengan Opportunity nampaknya terhalang selama-lamanya. Akan tetapi, doa kita tidak perlu terhalang. Dengan pekerjaan Roh Kudus, Tuhan dengan penuh kasih mendorong kita memulihkan komunikasi dengan-Nya. Apabila kita mengakui dosa-dosa kita dan kembali kepada-Nya, dengan rahmat Tuhan, kita akan mengalami komunikasi yang terhebat di alam semesta: doa peribadi antara kita dan Tuhan kita yang suci.