Ellen membuka peti suratnya dan mendapati sebuah sampul surat besar yang dikirimkan oleh kawan karibnya. Hanya beberapa hari yang lalu, dia telah berkongsi dengan kawan tersebut tentang masalah hubungan yang dihadapinya. Dengan rasa ingin tahu, dia membuka sampul itu dan menemukan rantai manik berwarna-warni pada tali guni yang biasa. Disertakannya sekeping kad dengan slogan sebuah syarikat, “Sebutlah dalam Kod Morse,” dan mesej rantai yang tersembunyi dan bijak itu berbunyi, “Carilah Jalan Tuhan.” Ellen tersenyum sambil memakai rantai itu pada lehernya.

Kitab Amsal merupakan koleksi kata hikmat—kebanyakannya ditulis oleh Salomo yang disanjungi sebagai orang yang paling bijak pada zamannya (1 Raja-Raja 10:23). 31 fasal dalam kitab tersebut menyeru pembacanya mendengarkan kata-kata bijak dan menghindari kebodohan, bermula dengan mesej utama ini dalam Amsal 1:7: “Untuk memperoleh pengetahuan, pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada TUHAN.” Kebijaksanaan—mengetahui apa yang harus dibuat pada masa tertentu—ini datang daripada menghormati Tuhan dengan mencari jalan Tuhan. Dalam ayat-ayat pengenalan kita membaca, “Hai anakku, perhatikanlah kata-kata bapa dan ibumu. Ajaran mereka akan menambah budi pekertimu seperti hiasan kepala dan kalung mempercantik rupamu” (AYAT 8-9).

Kawan Ellen telah mengarahkan dia kepada Sumber kebijaksanaan yang diperlukannya: Cari jalan Tuhan. Hadiahnya itu memusatkan perhatian Ellen untuk mendapatkan pertolongan yang diperlukannya.

Apabila kita menghormati Tuhan dan mencari jalan-Nya, kita akan menerima kebijaksanaan yang kita perlukan untuk segala perkara yang kita hadapi dalam hidup kita. Setiap satu perkara dan kesemuanya.