Walaupun Sam tidak melakukan sebarang kesalahan, dia kehilangan pekerjaannya di barisan pemasangan di sebuah kilang kereta. Kecuaian orang lain telah menimbulkan masalah pada kereta yang dibuat mereka. Setelah beberapa nahas disiarkan dalam berita, pelanggan yang waswas berhenti membeli kereta jenama mereka. Maka, syarikatnya terpaksa memberhentikan beberapa pekerja, termasuklah Sam. Dia menjadi korban akibat kesilapan orang lain, dan hal ini tidaklah adil. Sama sekali tidak adil.
Korban pertama dalam sejarah terjadi sejurus selepas dosa pertama. Adam dan Hawa berasa malu setelah menyedari mereka bertelanjang, maka Tuhan dengan rahmat-Nya mengenakan “pakaian daripada kulit binatang” pada mereka (Kejadian 3:21). Betapa sedihnya jika anda membayangkan ini, kerana seekor atau lebih banyak haiwan yang sebelum ini sentiasa selamat di taman telah dibunuh dan disiat kulitnya.
Lebih banyak lagi korban akan dipersembahkan. TUHAN berfirman kepada orang Israel, “Setiap hari pada waktu pagi, seekor anak domba yang berusia satu tahun dan tidak ada cacat harus dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN” (Yehezkiel 46:13). Hari demi hari. Berapakah ekor haiwan telah dikorbankan kerana dosa manusia?
Kematian haiwan diperlukan untuk menghapus dosa kita sehingga Yesus, Anak Domba Tuhan, datang untuk menghapusnya (Yohanes 1:29). Sebutlah ini sebagai “korban penebusan”. Oleh sebab dosa Adam membawa maut kepada kita, jadi ketaatan Adam Terakhir (Kristus) memulihkan semua yang percaya kepada-Nya (Roma 5:17-19). Korban penebusan tidak adil— melalui nyawa Yesus—tetapi ia adalah percuma. Percayalah kepada Yesus dan terima keselamatan yang ditawarkan-Nya, lalu kita akan dianggap benar oleh Tuhan.