Di satu sisi jalan, seorang pemilik rumah mempamerkan belon angin besar yang berbentuk seekor helang botak di halaman belakang rumah, dan mengenakan bendera Amerika Syarikat (AS) pada badannya. Sebuah trak besar terletak di jalan masuk. Tingkap sisi itu terlukisnya sebuah bendera AS dan bampar belakang trak dipenuhi dengan pelekat patriotik. Tepat di seberang jalan di halaman belakang rumah jirannya pula, terdapat papan-papan tanda yang menonjolkan slogan mengenai isu-isu keadilan sosial semasa dalam berita.
Adakah penghuni kedua-dua rumah ini bersengketa atau berkawan? Kita mungkin tertanya-tanya. Mungkinkah kedua-dua keluarga itu adalah orang yang percaya kepada Yesus? Tuhan memanggil kita menerapkan kata-kata Yakobus 1:19 dalam kehidupan: “Setiap orang haruslah cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata, dan lambat naik marah.” Kerap kali kita tetap berdegil untuk berpegang kukuh pada pendapat kita dan tidak mahu mempertimbangkan pendapat orang lain. Buku Komentari Alkitab oleh Matthew Henry (Matthew Henry’s Commentary) menuliskan: “Kita harus cepat untuk mendengarkan alasan dan kebenaran semua pihak dan lambat berkata-kata … apabila kita berkata-kata pun, seharusnya tidak ada kemarahan langsung.”
Seseorang pernah berkata, “Pembelajaran memerlukan pendengaran.” Kata-kata Tuhan yang praktikal dalam kitab Yakobus hanya dapat diterapkan sekiranya kita dikuasai oleh Roh Tuhan yang penuh kasih dan memilih untuk menghormati orang lain. Tuhan sudi membantu kita mengalami perubahan dalam hati dan sikap kita. Adakah kita bersifat terbuka untuk mendengar dan belajar?
ILHAM
Apabila Yakobus menulis kepada para pengikut Yesus yang telah “tercerai-cerai di seluruh dunia” (Yakobus 1:1), dia memberikan arahan praktikal tentang bagaimana hidup untuk Kristus. Dia menyebut sikap, seperti prasangka dan cinta akan wang (2:1-12; 5:1-6); dan tindakan, seperti memberi kepada orang yang miskin dan kesabaran semasa penderitaan (2:14-26; 5:7-11).Dalam bacaan hari ini, Yakobus 1:19-27, pengarang itu memberikan galakan dalam bentuk sandwic. Dalam ayat 19-21 dan 26-27, dia memberikan contoh khusus tentang bagaimana untuk hidup salih: lambat naik marah; mengawal percakapan; menolong orang yang berada dalam penderitaan. Isi penting sandwic itu adalah di bahagian tengah (ayat 22-25), Yakobus menjelaskan bahawa ritual mendengar (atau membaca) Alkitab tidak mencukupi untuk memimpin seseorang menjadi salih seperti yang diinginkan Tuhan. Kita perlu mentaati dan mematuhi ajaran Alkitab.