Pada 16 Julai 1999, pesawat kecil yang dipandu oleh John F. Kennedy Jr. terhempas di Lautan Atlantik. Penyiasat telah mengenal pasti penyebab kemalangan tersebut adalah disebabkan oleh satu kesilapan umum—disorientasi ruang. Fenomena ini berlaku apabila juruterbang menjadi keliru disebabkan oleh akibat penglihatan yang kurang jelas dan membuatkan mereka terlupa bergantung pada peralatan lain untuk membantu mereka sampai ke destinasi mereka dengan selamat.
Semasa kita menjalani hidup ini, sering kali hidup menjadi terlalu mencabar sehingga membuatkan kita rasa bercelaru. Diagnosis kanser, kematian orang kesayangan, kehilangan pekerjaan, dikhianati oleh rakan sendiri—dengan mudahnya tragedi hidup yang tidak terduga ini boleh menyebabkan kita terasa sesat dan bingung.
Apabila kita mendapati diri kita dalam situasi sebegini, kita boleh memanjatkan doa Mazmur 43. Dalam mazmur ini, pemazmur berasa keliru dan sesat kerana dia berasa dirinya diselubungi oleh kejahatan dan ketidakadilan. Dalam keadaan putus harapan, pemazmur memohon kepada Tuhan untuk membimbing dia mengharungi ribut kehidupan dengan selamat untuk tiba ke destinasi yang diingininya, iaitu hadirat Tuhan (AYAT 3-4). Pemazmur tahu bahawa di dalam hadirat Tuhan, dia akan menemukan harapan dan kegembiraan yang baharu.
Apakah yang diminta oleh pemazmur untuk mendapatkan bimbingan? Cahaya kebenaran dan jaminan hadirat Tuhan dengan Roh Kudus-Nya.
Apabila anda berasa keliru dan sesat, bimbingan Tuhan yang setia melalui Roh-Nya dan hadirat-Nya yang penuh kasih dapat menghiburkan anda dan menerangi jalan anda.
ILHAM
Mazmur 43 merupakan doa peribadi seseorang yang mengalami kesusahan dalam kehidupan kepada Tuhan yang dapat campur tangan. Ia adalah penting untuk memerhatikan perkembangan fikiran pemazmur untuk lebih memahami permohonan doa itu.Dalam ayat 1, pengarang itu menegaskan keperluannya untuk pertolongan dan menyatakan dirinya tidak bersalah apabila berdepan dengan penganiayaan: “Berilah keadilan” (TB) menyiratkan bahawa pemazmur menghadapi serangan yang tidak sepatutnya. Pemazmur kemudian mengakui bahawa dia telah datang kepada Tuhan, tetapi berasa dibuang oleh-Nya. Hal itu menyiratkan penganiayaan oleh “penjahat dan pendusta” (ayat 1), mahupun doa-doa memohon penyelamatan serta Tuhan yang kelihatan tidak mendengar doa masih terus berlangsung. Dalam ayat 3, pemazmur sekali lagi memohon agar Tuhan bekerja. Ini bermaksud jika permohonan itu dikabulkan, pemazmur akan mempersembahkan kesyukurannya (ayat 4). Sebagai penutup doa, pemazmur mengingatkan dirinya bahawa dia akan terus berharap dan percaya kepada Tuhan (ayat 5).