Saya mengangkat telefon yang berdering tanpa berlengah. Panggilan itu adalah daripada seorang anggota tertua di gereja kami, iaitu saudari berusia hampir 100 tahun. Dia seorang yang bersemangat dan rajin. Untuk membuat pengemasan terakhir bagi buku terbarunya, dia menanyakan saya tentang beberapa soalan penulisan bagi membantunya melengkapkan buku itu. Tetapi seperti biasa, saya segera mengajukan soalan kepadanya tentang kehidupan, pekerjaan, cinta dan keluarga. Banyak pelajaran yang dia timba lewat usia panjangnya terserlah dengan kebijaksanaan. “Pelan-pelanlah. Selangkah demi selangkah,” katanya. Selepas itu kami tertawa tentang saat-saat yang dia pula lupa berbuat demikian—kisah hidupnya yang indah tercurah dengan kegembiraan sejati.
Kebijaksanaan membawa kegembiraan, seperti diajarkan dalam Alkitab. “Berbahagialah orang yang menjadi bijaksana dan mendapat pengertian” (Amsal 3:13). Kita mendapati bahawa “hikmat membawa kebahagiaan” memang merupakan kebaikan yang berdasarkan Alkitab. “Kamu akan menjadi bijaksana, dan pengetahuanmu akan menyukakan hatimu” (Amsal 2:10). “Allah memberikan hikmat, pengetahuan, dan kegembiraan kepada orang yang menyenangkan hati-Nya” (Pengkhutbah 2:26). Hikmat “adalah jalan penuh bahagia” (Amsal 3:17, TB).
Ketika merenungkan hal-hal kehidupan, pengarang C. S. Lewis menyatakan bahawa “kegembiraan adalah hal syurgawi yang penting.” Bagaimanapun, jalan di situ diturap dengan kebijaksanaan. Rakan gereja saya yang hidup sehingga 107 tahun pasti bersetuju dengan kenyataan ini. Dia mengambil langkah hidupnya dengan bijak dan bahagia untuk menuju kepada Raja.