Syerif itu kagum dengan “ratusan ribu atau mungkin berjuta-juta doa” yang dipanjatkan kepada Tuhan, memohon pertolongan-Nya ketika kebakaran besar (East Troublesome Fire) terjadi di pergunungan Colorado pada musim luruh 2020. Seperti namanya Troublesome (Masalah), kebakaran itu menjilat habis 100,000 ekar kawasan dalam masa 12 jam. Ia marak melalui hutan kering, menghanguskan 300 buah rumah dan hampir memusnahkan seluruh bandar berhampiran. Kemudian datanglah “Rahmat Tuhan,” gelaran yang diberi oleh seorang ahli meteorologi. Ia bukan hujan, tetapi salji yang turun tepat pada masanya. Salji turun awal pada tahun itu dan turun di atas zon kebakaran, menyebabkan api lambat merebak serta memadamkan kebakaran di beberapa tempat.

Pertolongan yang penuh belas kasihan itu kelihatan terlalu luar biasa. Adakah Tuhan mendengar doa kita agar salji atau hujan turun? Alkitab banyak mencatatkan jawapan-Nya, termasuk selepas Elia mendoakan hujan turun (1 Raja-Raja 18:41-46). Elia, seorang hamba beriman besar yang mengenal kedaulatan Tuhan ke atas segala sesuatu termasuk cuaca. Mazmur 147 menyebutkan Tuhan, “Dia menurunkan hujan ke bumi” (ayat 8). “Dia meliputi tanah dengan salji seperti menghamparkan selimut … tiada sesiapa pun tahan menghadapi kesejukan itu” (ayat 16-17).

Elia boleh mendengar “deru hujan yang segera datang” bahkan sebelum awan terbentuk (1 Raja-Raja 18:41). Adakah iman kita terhadap kuasa-Nya sedemikian kuat? Tuhan mengundang kita percaya kepada-Nya, tidak kira apa pun jawapan-Nya. Kita boleh mencari pertolongan-Nya yang luar biasa.