Dalam satu artikel mengenai bimbingan, Hannah Schell menjelaskan bahawa mentor perlu menyokong, mencabar dan memberi inspirasi, tetapi “yang penting sekali, mentor yang baik melihat anda … Pengiktirafan bermaksud “dilihat”, ia merupakan satu keperluan asas manusia, bukan dari segi memberikan anugerah atau penghargaan.” Seseorang perlu diiktiraf, dikenali dan dipercayai.
Dalam Perjanjian Baru, Barnabas, yang namanya bermaksud “Penggalak,” memiliki kemampuan untuk “melihat” orang di sekelilingnya. Dalam Kisah Rasul-Rasul 9, dia sanggup memberikan peluang kepada Saulus ketika pengikut-pengikut lain “takut akan dia” (ayat 26). Saulus (juga disebut Paulus; 13:9) pernah menganiayai orang-orang yang percaya kepada Yesus (8:3). Oleh itu, mereka tidak percaya bahawa “dia benar-benar sudah menjadi pengikut Yesus” (9:26).
Kemudian, Paulus dan Barnabas mempunyai perselisihan sama ada membawa Markus bersama untuk “lawat semula saudara-saudara yang percaya kepada Yesus di semua kota” yang mereka sudah menyampaikan firman Tuhan (15:36). Paulus berfikir bahawa tidak bijak untuk membawa Markus kerana dia pernah meninggalkan mereka. Apa yang menarik, Paulus kemudian meminta bantuan Markus: “Jemputlah Markus dan bawalah dia bersama denganmu, kerana dia dapat menolong aku dalam pekerjaanku” (2 Timotius 4:11).
Barnabas mengambil masa untuk “melihat” Paulus dan Markus. Mungkin kita berada dalam situasi seperti Barnabas untuk mengenal potensi orang lain atau kita sendiri yang memerlukan mentor rohani. Semoga kita memohon Tuhan membawa kita kepada mereka yang memerlukan dorongan kita dan mereka yang akan memberikan dorongan kepada kita.