Satu tragedi melanda berhampiran Los Angeles pada Januari 2020 ketika 9 orang maut dalam nahas helikopter. Sebilangan besar tajuk berita berbunyi seperti ini, “Pemain Legenda Bola Keranjang bagi Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan, Kobe Bryant, anak perempuannya, Gianna (“Gigi”), dan 7 orang lain telah terkorban dalam kemalangan itu.”
Adalah wajar dan boleh difahami bahawa orang biasanya menumpukan perhatian kepada orang terkenal yang terlibat dalam situasi mengerikan seperti ini, kematian Kobe dan anak remaja kesayangannya, Gigi amat memilukan. Tetapi kita harus mengetahui bahawa tajuk berita tersebut tidak akan membuat nyawa “7 orang lain” (Payton, Sarah, Christina, Alyssa, John, Keri dan Ara) itu kurang penting.
Kadangkala kita perlu diingatkan bahawa setiap manusia itu penting di mata Tuhan. Masyarakat biasanya suka memuji serta menyanjung orang kaya dan terkenal. Tetapi kemasyhuran tidak menjadikan seseorang lebih penting berbanding jiran anda, anak-anak yang bising bermain di jalanan, lelaki yang kurang bernasib baik di rumah kebajikan, atau anda sendiri.
Setiap orang di bumi diciptakan menurut gambaran Tuhan (Kejadian 1:27), sama ada kaya atau miskin (Amsal 22:2). Tuhan adalah adil terhadap setiap orang (Roma 2:11), dan masing-masing memerlukan Penyelamat (3:23).
Kita memuliakan Tuhan kita yang agung ketika kita menolak sikap pilih kasih baik dalam kalangan jemaah (Yakobus 2:1–4) mahupun dalam masyarakat.