Rusa di kawasan kejiranan kami dan saya mempunyai dua pendapat yang berbeza tentang bunga matahari. Apabila saya menanam bunga matahari setiap musim bunga, saya tidak sabar-sabar hendak menikmati kemekaran bunga ini yang indah. Bagaimanapun, si rakan-rakan rusa saya tidak akan mempedulikan kemekaran bunga. Binatang ini hanya mahu mengunyah batang dan daun-daun sehingga tiada yang tertinggal. Ini adalah pertempuran musim panas tahunan kerana saya cuba melihat bunga matahari bertumbuh sehingga matang sebelum jiran empat kaki saya itu makan habis bunga saya. Kadang-kadang saya menang; kadang-kadang rusa yang menang.

Apabila kita berfikir tentang kehidupan kita sebagai orang yang percaya kepada Yesus, mudah bagi kita untuk melihat pertempuran yang sama sedang berlaku di antara kita dan musuh kita—Iblis. Matlamat kita adalah terus bertumbuh dalam iman sehingga kita menjadi matang secara rohani, yang membantu kehidupan kita menyerlah untuk kemuliaan Tuhan. Iblis pula mahu menghancurkan iman kita dan menghalang kita bertumbuh. “Namun kita diberikan hidup sejati. Semua roh yang berkuasa dan yang memerintah berada di bawah kekuasaan Kristus” (Kolose 2:10), yang bermaksud Dia menjadikan kita “sempurna”. Kemenangan Kristus pada kayu salib membolehkan kita menyerlah di dunia seperti bunga matahari yang indah.

Apabila Yesus menyalibkan “surat hutang kita” (hukuman bagi dosa-dosa kita) pada kayu salib (ayat 14), Dia memusnahkan kuasa yang menguasai kita. Kita “berakar umbi dalam Dia” dan hidup kita dibina “dengan Kristus sebagai asasnya” (ayat 7) dan “dihidupkan bersama-sama Kristus” (ayat 13). Kita mempunyai kuasa kerana “hidup bersatu dengan Kristus” (ayat 10) untuk menentang serangan rohani musuh dan dapat bertumbuh dalam Yesus sehingga mempamerkan keindahan yang sebenar dalam kehidupan.