Apabila tinggal beberapa minit terakhir dalam senaman 40 minit saya, saya dapat menjamin bahawa pelatih saya akan berteriak, “Kuatkan semangat sehingga selesai!” Setiap pelatih peribadi atau pemimpin kumpulan kecergasan yang saya kenal menggunakan frasa ini beberapa minit sebelum senaman berhenti. Mereka tahu bahawa tahap akhir senaman adalah sama pentingnya dengan tahap awalnya. Mereka juga tahu bahawa tubuh manusia cenderung menjadi lembap atau perlahan setelah bergerak untuk seketika.
Begitu juga dalam perjalanan kita dengan Yesus. Paulus memberitahu para pemimpin gereja di Efesus bahawa dia perlu berakhir dengan semangat yang kuat ketika dia menuju ke Yerusalem, tempat yang dia yakin akan menghadapi lebih banyak penganiayaan sebagai rasul Kristus (Kisah Rasul-Rasul 20:17-24). Bagaimanapun, Paulus tidak patah semangat. Dia mempunyai misi untuk menyelesaikan perjalanan iman yang dimulakannya dan melakukan apa yang dipanggil oleh Tuhan untuknya. Dia mempunyai satu tugas, iaitu “mengkhabarkan Berita Baik tentang rahmat Allah” (ayat 24), dan dia mahu mengakhiri perjalanan ini dengan semangat yang kuat. Walaupun penderitaan menantinya (ayat 23), dia terus berlari ke arah garisan penamat dan bertekad untuk tetap teguh dalam perjalanannya.
Sama ada kita melatih otot-otot fizikal atau mengerjakan kebolehan yang telah dikurniakan Tuhan melalui tindakan, kata-kata dan perbuatan, kita juga boleh didorong oleh peringatan bahawa kita boleh menyelesaikan tugas yang diterima daripada Tuhan dengan semangat yang kuat. “Janganlah kita jemu” (Galatia 6:9). Jangan berputus asa. Tuhan akan memberikan apa yang kita perlukan untuk menyelesaikan tugas-Nya dengan semangat yang kuat.