Month: Ogos 2022

Ikan Emas Bernama Monstro

Lacey Scott mengunjungi sebuah kedai peliharaan haiwan tempatan apabila seekor ikan yang kelihatan sedih di dasar akuarium telah menarik perhatiannya. Sisik ikan itu telah bertukar warna hitam dan terdapat luka di badan. Lacey menyelamatkan ikan emas yang berumur 10 tahun itu, dan menamakan ikan itu “Monstro” sempena nama seekor ikan paus dalam cerita dongeng Pinocchio, lalu menempatkan Monstro di dalam tangki “hospital”, menukar airnya setiap hari. Lama-kelamaan, keadaan Monstro bertambah baik, mula berenang dan bertambah besar. Sisik hitamnya bertukar menjadi warna emas. Melalui penjagaan Lacey yang komited, Monstro telah berubah sama sekali!

Ditarik oleh Bencana

Pada tahun 1717, satu ribut yang kencang berlangsung selama beberapa hari sehingga membanjiri kawasan luas di serata Eropah utara. Beribu-ribu orang kehilangan nyawa di Belanda, Jerman dan Denmark. Sejarah mencatatkan sesuatu yang menarik dan telah menjadi amalan biasa―pada ketika itu―respons daripada sekurang-kurangnya satu kerajaan tempatan. Pihak berkuasa wilayah di bandar Groningen, Belanda memanggil penduduknya mengadakan “hari doa” sebagai respons terhadap bencana tersebut. Seorang sejarawan melaporkan bahawa penduduk-penduduk berhimpun di gereja dan “mendengar khutbah, menyanyi lagu pujian dan berdoa selama berjam-jam.”

Kekayaan yang Tidak Terkatakan

Dalam orbit di antara planet Marikh (Mars) dan Musytari (Jupiter), terdapat asteroid yang bernilai berjuta-juta dolar. Ahli-ahli saintis mengatakan asteroid yang dinamakan sebagai 16 Psyche ini mengandungi logam seperti emas, besi, nikel, dan platinum yang tidak ternilai harganya. Setakat ini, orang di bumi belum mencuba untuk menggali sumber yang kaya itu, tetapi Amerika Syarikat sedang merancang untuk menyelidik batu yang berharga ini.

Berani Mengambil Pendirian

Di sebuah kota kecil Illinois, keganasan domestik merangkumi 40 peratus dalam keseluruhan jenayah di komuniti tersebut. Menurut seorang pastor tempatan, isu ini sentiasa tersembunyi dalam kalangan orang Kristian kerana hal ini tidak menyenangkan untuk dibincangkan. Pastor-pastor tempatan tidak menyembunyikan masalah itu, sebaliknya mereka memilih untuk mempraktikkan iman dan berani mengajukan isu tersebut dengan menghadiri kelas demi mengenal pasti tanda-tanda keganasan dan menyokong organisasi sukarelawan untuk menangani isu-isu tersebut. Dengan mengakui kuasa iman dan tindakan, seorang pastor tempatan berkata, “Doa dan belas kasihan kami, diikuti dengan sokongan, boleh membuat perbezaan yang ketara.”