Dalam orbit di antara planet Marikh (Mars) dan Musytari (Jupiter), terdapat asteroid yang bernilai berjuta-juta dolar. Ahli-ahli saintis mengatakan asteroid yang dinamakan sebagai 16 Psyche ini mengandungi logam seperti emas, besi, nikel, dan platinum yang tidak ternilai harganya. Setakat ini, orang di bumi belum mencuba untuk menggali sumber yang kaya itu, tetapi Amerika Syarikat sedang merancang untuk menyelidik batu yang berharga ini.

Jaminan kekayaan yang tidak tercapai ini amat menggoda serta mengecewakan. Pastinya pada suatu masa akan datang, orang akan cuba menjangkau 16 Psyche untuk mendapatkan hartanya.

Tetapi bagaimana pula dengan prospek kekayaan yang kita dapat capai? Bukankah semua orang akan cuba mendapatkannya? Dalam surat kepada jemaah abad pertama di Roma, rasul Paulus mengatakan tentang kekayaan yang dapat dicapai―yang terdapat dalam hubungan kita dengan Tuhan. Dia menulis, “Alangkah hebatnya kekayaan, kebijaksanaan, dan pengetahuan Allah! (Roma 11:33). James Denney, iaitu cendekiawan Alkitab menjelaskan bahawa kekayaan ini adalah “kekayaan kasih Tuhan yang tidak dapat dicari… lebih daripada memenuhi [keperluan penting] di dunia.”

Bukankah itu yang kita perlukan―malah lebih daripada ketulan emas dari asteroid, kita boleh melombong kekayaan hikmat Tuhan yang terdapat dalam Alkitab dengan pertolongan Roh Kudus. Semoga Tuhan memimpin kita menggali kekayaan tersebut dan semakin memahami serta menghargai-Nya.