Seorang ahli psikologi yang menjalankan ujian pengecaman diri bertanya kepada kanak-kanak, “Siapakah dalam cermin itu?” Kanak-kanak yang berumur 18 bulan atau lebih muda biasanya tidak dapat mengecam imej mereka sendiri dalam cermin. Ketika kanak-kanak membesar, barulah mereka faham bahawa apabila mereka melihat imej mereka dalam cermin, itu adalah diri mereka sendiri. Pengecaman diri adalah tanda penting untuk pertumbuhan dan kematangan yang sihat bagi seseorang.
Hal ini juga penting untuk pertumbuhan rohani bagi orang yang percaya kepada Yesus. Yakobus memberi garis kasar tentang ujian pengecaman cermin. Cermin itu adalah “firman-Nya yang benar” (Yakobus 1:18). Apabila kita membaca Alkitab, apakah yang kita lihat? Dapatkah kita mengenal diri kita sendiri apabila Alkitab menjelaskan tentang kasih dan kerendahan hati? Adakah kita melihat tindakan kita sendiri apabila kita membaca apa yang diperintahkan oleh Tuhan untuk kita lakukan? Apabila kita melihat ke dalam hati kita dan memeriksa tindakan kita, Alkitab boleh menolong kita mengenal pasti sama ada tindakan kita selaras dengan kehendak Tuhan atau mungkin kita perlu bertaubat dan mengubah sifat kita yang tidak benar.
Yakobus mengingatkan kita supaya tidak sekadar membaca Alkitab lalu melupakannya. Dia berkata, “Janganlah tipu diri sendiri dengan hanya mendengarkan firman-Nya” (ayat 22) dan melupakan apa yang telah kita baca dan dengar. Alkitab memberi kita panduan untuk hidup dengan bijak menurut rancangan Tuhan. Semasa kita membaca, merenungkan dan mengaplikasikannya, kita boleh meminta Tuhan agar memberi kita mata untuk melihat ke dalam hati kita dan kekuatan untuk membuat perubahan yang perlu.