Ketika terperangkap di bawah dua tingkat yang runtuh akibat gempa bumi, Jinan, seorang anak perempuan yang berusia lima tahun dari Syria, berseru kepada para penyelamat ketika dia melindungi adik lelakinya daripada serpihan di sekeliling mereka. “Tolong keluarkan saya dari sini; Saya akan buat apa sahaja untuk kamu,” seruannya amat menyedihkan. “Saya akan menjadi hamba kamu.”

Seruan kesusahan terdapat di seluruh kitab Mazmur: “Aku berseru kepada TUHAN dalam kesusahan” (118:5). Walaupun kita mungkin tidak pernah tertimbus dalam runtuhan bangunan akibat gempa bumi, setiap kita memahami ketakutan yang melampau, yang mungkin disebabkan oleh diagnosis kesihatan yang mencabar, kesusahan dalam kewangan, ketidakpastian tentang masa depan atau kehilangan seseorang.

Pada saat-saat itu, kita mungkin tawar-menawar dengan Tuhan untuk mendapatkan pembebasan. Namun, untuk mendapatkan pertolongan Tuhan, Dia tidak perlu dipujuk. Dia berjanji untuk menjawab, dan walaupun itu mungkin tidak melegakan keadaan kita, Dia tetap bersama dengan kita dan di pihak kita. Kita juga tidak perlu takut menghadapi sebarang bahaya—termasuk kematian. Kita boleh berkata bersama dengan pemazmur, “TUHAN menyokongku dalam kalangan mereka yang menolongku. Oleh itu, aku akan melihat kehendakku berlaku ke atas mereka yang membenciku” (ayat 7).

Tuhan tidak berjanji, bahawa kita akan diselamatkan secara ajaib seperti yang dialami oleh Jinan dan adiknya, tetapi kita boleh mempercayai Tuhan kita yang setia, yang meletakkan pemazmur “di tempat yang lapang” (ayat 5). Dia tahu keadaan kita dan Dia tidak akan meninggalkan kita, walaupun dalam kematian.