“Kementerian Tenaga Manusia Singapura mengumumkan pada tahun 2022, semua pekerja domestik asing mesti diberi sekurang-kurangnya satu hari rehat dalam sebulan, malah para majikan tidak boleh menggantikan hari cuti itu dengan memberikan wang kepada pekerja domestik. Walau bagaimanapun, para majikan bimbang bahawa tiada orang boleh menjaga keluarga mereka sekiranya pekerja domestik bercuti. Walaupun masalah ini boleh diselesaikan dengan membuat beberapa pengaturan alternatif, sedihnya sikap para majikan yang tidak melihat keperluan untuk berehat itu tidak mudah diselesaikan.
Sikap melayan orang lain dengan bertimbang rasa bukanlah isu baharu. Rasul Paulus hidup pada zaman bahawa para hamba dilihat sebagai hak milik tuan mereka. Namun dalam baris terakhir arahannya kepada gereja tentang bagaimana rumah tangga harus beroperasi dengan berpusatkan Kristus, dia berkata bahawa tuan harus memperlakukan hamba mereka dengan “adil dan wajar” (Kolose 4:1). Versi terjemahan lain berkata, “berlakulah adil dan jujur terhadap hambamu” (Terjemahan Baru).
Seperti Paulus memberitahu para hamba bekerja “untuk Tuhan, bukan untuk manusia” (3:23), dia juga memperingatkan para majikan tentang kuasa Yesus ke atas mereka: “kamu pun mempunyai Tuan di syurga” (4:1). Tujuannya adalah untuk menggalakkan orang percaya di Kolose agar hidup sebagai orang yang berada di bawah kuasa tertinggi, iaitu Kristus. Dalam interaksi kita dengan orang lain—sama ada sebagai majikan, pekerja, di rumah atau dalam komuniti—kita memerlukan pertolongan Tuhan untuk melakukan perkara dengan “adil dan wajar” (ayat 1).