Kita mengenali Leonardo da Vinci sebagai tokoh renaissance (Zaman Pembaharuan) yang mempunyai pengetahuan dan minat yang luas. Kehebatan inteleknya telah membawa kemajuan dalam pelbagai bidang pengajian dan seni. Namun Leonardo menulis dalam jurnalnya, “Kami menjalani hari-hari yang sengsara” dan mengeluh bahawa sekiranya mereka mati, “kita tidak akan meninggalkan ingatan tentang diri kita sendiri dalam fikiran manusia.”
“Saya ingat saya sedang belajar cara untuk hidup, rupanya saya sedang belajar cara untuk mati” kata Leonardo. Mungkin dia belum tahu, kesedarannya pada kenyataan itu amat benar, kerana belajar cara untuk mati merupakan cara untuk hidup. Selepas Yesus memasuki Yerusalem dan orang ramai mengalu-alukan-Nya (yang sekarang kita sambut sebagai Minggu Palma; lihat Yohanes 12:12-19), Dia berkata, “Jika benih gandum tidak jatuh di tanah lalu mati, benih gandum itu hanyalah benih. Tetapi sekiranya benih itu mati, benih itu akan banyak menghasilkan buah” (ayat 24). Dia bercakap tentang kematian-Nya sendiri, tetapi mengembangkannya untuk merangkumi setiap orang: “Orang yang sayangkan hidupnya akan kehilangan hidup itu. Tetapi orang yang tidak sayangkan hidupnya di dunia ini akan mendapat hidup yang kekal” (ayat 25).
Rasul Paulus menulis tentang “dikuburkan” bersama Kristus, “Melalui baptisan itu, kita dikuburkan dengan Dia dan ikut mati bersama-Nya. Demikian juga, sebagaimana Kristus dibangkitkan daripada kematian melalui kemuliaan Allah Bapa, kita juga dapat menikmati kehidupan yang baru. Jika kita telah disatukan dengan Kristus kerana kita turut mati bersama-Nya, maka tentulah kita akan disatukan juga dengan-Nya dalam kebangkitan semula-Nya” (Roma 6:4-5).
Melalui kematian-Nya, Yesus menawarkan kita kelahiran semula—maksud yang sama bagi perkataan renaissance. Dia telah membuka jalan menuju kehidupan kekal bersama dengan Bapa-Nya.