Apabila Gandalf Si Kelabu berhadapan dengan Saruman Si Putih, jelaslah bahawa Saruman telah menyimpang daripada apa yang sepatutnya dilakukannya, iaitu membantu melindungi Bumi Tengah daripada Sauron, si makhluk yang jahat. Lebih-lebih lagi, Saruman telah bersekongkol dengan Sauron! Dalam adegan ini daripada filem The Fellowship of the Ring, iaitu karya klasik J. R. R. Tolkien, kedua-dua bekas rakan itu kemudiannya melancarkan pertempuran epik antara kuasa baik dan kuasa jahat. Kalaulah Saruman tetap teguh melakukan apa yang diketahuinya betul!

Raja Saul juga gagal tetap teguh. Dalam satu kisah, dia bertindak betul dengan “menyingkirkan pemanggil arwah dan ahli sihir dari [Israel]” (1 Samuel 28:3). Itu tindakan yang baik, kerana Tuhan telah berfirman bahawa sesiapa yang menceburi ilmu ghaib adalah “keji” (Ulangan 18:9-12). Akan tetapi, apabila Tuhan tidak menjawab permohonan Raja Saul—disebabkan kegagalannya sebelum itu—mengenai cara untuk menangani pasukan tentera Filistin yang sangat besar, Saul berkompromi: “Carilah seorang pengantara wanita untukku yang biasa memanggil arwah. Aku hendak pergi kepadanya dan meminta petunjuknya” (1 Samuel 28:7). Memang betul-betul terbalik! Saul gagal sekali lagi kerana dia melanggar perintahnya sendiri yang dia tahu bahawa perintah itu benar.

Satu milenium (seribu tahun) kemudian, Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Katakan sahaja ‘Ya’ atau ‘Tidak’ dan kotakan kata itu. Yang lebih daripada itu datang daripada si durjana” (Matius 5:37). Dalam erti kata lain, jika kita komited untuk mematuhi Kristus, adalah penting untuk kita mengotakan ikrar kita dan berjujur. Marilah kita tetap teguh melakukan perkara-perkara yang betul dengan pertolongan Tuhan.