Semasa waktu remaja, saya dan kakak saya tidak memahami keputusan ibu untuk menerima Yesus sebagai Penyelamatnya, tetapi kami tidak dapat menafikan perubahan yang kami lihat dalam dirinya. Dia memiliki lebih banyak damai sejahtera dan sukacita serta mula setia melayani di gereja. Dia begitu lapar untuk mengkaji Alkitab sehingga dia mengikuti dan tamat kursus teologi di seminari. Beberapa tahun selepas keputusan ibu saya, kakak saya menerima Kristus dan mula melayani-Nya. Beberapa tahun sesudah itu, saya juga menaruh kepercayaan kepada Yesus dan mula melayani-Nya. Bertahun-tahun kemudian, ayah saya turut menyertai kami untuk percaya kepada-Nya. Keputusan ibu saya untuk menerima Kristus telah membawa kesan riak yang mengubah hidup anggota keluarga dekat kami mahupun keluarga jauh kami.

Semasa rasul Paulus menulis surat terakhirnya kepada Timotius dan menggalakkan dia bertekun dalam imannya kepada Yesus, dia mengambil perhatian tentang warisan rohani Timotius. “Aku juga mengingati imanmu yang tulus ikhlas, yang mula tersemai dalam jiwa nenekmu Lois dan ibumu Eunike, dan aku yakin bertapak dalam dirimu juga” (2 Timotius 1:5).

Wahai ibu dan nenek, keputusan anda dapat mempengaruhi turun-temurun.

Betapa indahnya ibu dan nenek Timotius membantu dia memupuk iman supaya dia dapat menjadi lelaki yang diperkenankan oleh Tuhan.

Pada Hari Ibu ini dan seterusnya, marilah kita memuliakan para ibu yang telah membuat keputusan untuk mengikut Yesus.

Marilah kita juga meninggalkan warisan rohani kepada orang kesayangan kita.