Pada suatu petang, saya nampak beberapa barisan tumbuhan telah ditanam dengan kemas di tanah lapang dekat rumah saya. Setiap baris mengandungi daun kecil berwarna hijau dengan kudup kecil mengintai keluar. Keesokan paginya, saya berhenti sejenak di tepi jalan apabila saya nampak bunga tulip merah yang cantik bercambah di tanah lapang itu.
Pada musim luruh yang lalu, sekumpulan orang telah menanam seratus ribu bebawang tulip di tanah lapang di seluruh bahagian South Side, bandaraya Chicago. Mereka memilih tulip warna merah untuk mendedahkan sistem penggarisan merah (redlining) yang telah memberikan kesan kepada penghuni-penghuni di kawasan kejiranan itu, terutamanya golongan minoriti yang sering menghadapi diskriminasi untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank. Bunga-bunga tulip itu melambangkan rumah-rumah yang sepatutnya didirikan di kawasan tersebut.
Umat Tuhan telah mengharungi banyak cabaran, mulai daripada pembuangan dari tanah air mereka kepada menghadapi diskriminasi seperti penggarisan merah. Namun, kita masih dapat menemukan harapan. Yesaya mengingatkan orang Israel semasa dalam pembuangan bahawa Tuhan tidak akan meninggalkan mereka. Dia akan memberi mereka “perhiasan kepala” sebagai ganti abu. Malah orang tertindas akan menerima “khabar baik” (61:1). Tuhan berjanji untuk mengganti semangat yang pudar dengan “jubah puji-pujian”. Semua imej ini membangkitkan kemuliaan-Nya dan akan membawa sukacita kepada umat-Nya, yang kini akan menjadi “pokok oak perbenaran” dan bukannya orang buangan yang berkabung (ayat 3).
Tulip itu juga menunjukkan bahawa Tuhan boleh mencipta kemegahan daripada kotoran dan diskriminasi. Saya berharap untuk melihat bunga tulip setiap musim bunga, dan lebih penting lagi, harapan diperbaharui di kawasan kejiranan saya dan komuniti lain.