Semasa perjalanan misi jangka pendek ke Ethiopia, rombongan kami mengiringi rombongan daripada pelayanan setempat yang bertujuan untuk menjangkau sekumpulan pemuda yang pernah mengalami masa sukar dan tinggal di gubuk-gubuk yang terletak di pusat pembuangan sampah. Kami sangat senang hati menemui mereka! Kami berkongsi kesaksian, kata-kata dorongan dan berdoa bersama-sama. Salah satu saat yang saya gemari pada petang itu ialah apabila seorang anggota rombongan setempat itu bermain gitarnya dan kami beribadat bersama rakan-rakan baru kami itu di bawah cahaya bulan. Sucinya saat itu! Walaupun keadaan mereka begitu sukar, para pemuda ini mendapat harapan dan sukacita yang hanya boleh ditemukan dalam Yesus.
Dalam Kisah Para Rasul 16, kita membaca tentang sesi puji sembah yang spontan. Perkara ini berlaku di dalam sebuah penjara di kota Filipi. Rasul Paulus dan Silas telah ditangkap, dipukul, disebat dan dipenjarakan ketika melayani Yesus. Mereka bukan sahaja tidak berputus asa, tetapi menyembah Tuhan dengan “berdoa dan memuji(-Nya)” di ruang penjara mereka. “Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang besar, sehingga bergoncang asas penjara itu. Serta-merta semua pintu penjara terbuka dan belenggu semua orang yang terpenjara itu terlucut” (ayat 25-26).
Ketua penjara itu pada mulanya berfikir hendak membunuh diri, tetapi apabila dia sedar bahawa banduan-banduan itu tidak melarikan diri, dia amat kagum akan Tuhan, lalu keselamatan pun datang kepada keluarganya (ayat 27-34).
Tuhan berkenan mendengar kita memuji-Nya. Marilah kita menyembah-Nya dalam senang dan susah hidup kita.