“Apakah yang saya sesali?” Itulah soalan yang dijawab oleh George Saunders, penulis terlaris yang dinamakan oleh surat khabar New York Times dalam ucapan pengantarnya pada tahun 2013 di Universiti Syracuse. Pendekatannya adalah sebagai seorang yang lebih tua atau senior (Saunders), dia ingin berkongsi beberapa penyesalan yang telah dialaminya dalam hidup kepada orang yang lebih muda (graduan), agar mereka dapat belajar sesuatu daripada teladannya. Dia menyenaraikan beberapa perkara yang mungkin menjadi andaian orang lain, seperti menjadi miskin dan melakukan pekerjaan yang teruk. Akan tetapi, Saunders mengatakan dia tidak menyesalinya sama sekali. Walau bagaimanapun, apa yang disesalinya ialah dia gagal berbelas kasihan. Dia mempunyai peluang untuk berbelas kasihan kepada seseorang, tetapi dia membiarkan peluang itu terlepas.
Rasul Paulus menulis kepada orang percaya di Efesus untuk menjawab soalan ini: Bagaimanakah rupanya kehidupan Kristian itu? Seolah-olah mudah sahaja kita bergegas memberikan jawapan; seperti memiliki pandangan politik tertentu, mengelak daripada membaca buku atau menonton filem tertentu, atau beribadat dengan cara tertentu. Bagaimanapun, pendekatan Paulus tidak mengehadkannya kepada isu-isu semasa. Dia mengatakan kita harus mengekang diri daripada “kata-kata yang kesat” (Efesus 4:29) dan menyingkirkan segala kepahitan dan kemarahan (ayat 31). Kemudian dia mengakhiri “ucapannya” pada dasarnya dengan berkata kepada jemaah di Efesus dan kepada kita, agar kita “berbelas kasihlah satu sama lain,” (ayat 32). Ini kerana di sebalik semuanya itu, Tuhan tidak berhenti untuk berbelas kasihan kepada kita dalam Kristus.
Antara semua perkara yang kita patut lakukan sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita perlu berbelas kasihan kepada orang lain.