Bagaimanakah anda menghapuskan bahasa kesat? Sebuah sekolah menengah memilih untuk memperkenalkan janji “tiada bahasa kesat”. Para pelajar berikrar dengan berkata: “Saya sungguh-sungguh berjanji untuk tidak menggunakan apa-apa bentuk kata kesat di mana-mana bahagian sekolah kita.” Ini merupakan usaha yang mulia, tetapi, menurut Yesus, tidak ada peraturan atau ikrar luaran dapat menutup kebusukan bahasa kesat.
Menghilangkan kebusukan kata-kata kesat yang keluar dari mulut kita bermula dengan memperbaharu hati kita. Seperti orang mengenal jenis pokok daripada buahnya (Lukas 6:43-44), Yesus berkata bahawa ucapan kita merupakan penunjuk yang meyakinkan sama ada hati kita selaras dengan Dia dan jalan-Nya atau tidak. Buah melambangkan ucapan seseorang, kerana “Yang diluahkan mulutnya, meluap daripada hatinya” (ayat 45). Kristus menegaskan bahawa jika kita benar-benar mahu mengubah apa yang keluar dari mulut kita, pertama-tama kita perlu berfokus untuk mengubah hati kita dengan bantuan-Nya.
Janji luaran tidak berguna untuk membendung bahasa kesat yang keluar dari hati yang belum berubah. Kita hanya dapat menghapuskan kata-kata kesat dengan terlebih dahulu mempercayai Yesus (1 Korintus 12:3) dan kemudian mengajak Roh Kudus untuk memenuhi hati kita (Efesus 5:18). Dia bekerja dalam diri kita untuk mengilhami dan membantu kita untuk sentiasa mengucap syukur kepada Tuhan (ayat 20), mengucapkan kata-kata yang mendorong serta memupuk iman orang lain (4:15, 29; Kolose 4:6).