Saya gembira terhadap jemputan makan malam oleh pemimpin gereja saya Harold dan isterinya, Pam, tetapi ini juga membuat saya gementar. Masa itu saya telah mengikuti satu kumpulan pengkajian Alkitab di universiti yang mengajarkan idea yang bercanggah dengan beberapa ajaran dalam Alkitab. Adakah mereka mahu menegur saya tentang hal itu?
Sambil makan piza, mereka berkongsi tentang keluarga mereka dan bertanyakan keluarga saya. Mereka memasang telinga ketika saya bercakap tentang kertas-kertas tugas di universiti, Buchi si anjing peliharaan saya, dan jejaka yang memikat hati saya. Selepas itu, barulah mereka mengingatkan saya secara lemah lembut mengenai kumpulan yang saya ikuti dan menerangkan apa yang silap tentang ajaran mereka.
Teguran mereka telah menjauhkan saya daripada dusta yang disampaikan dalam pengkajian Alkitab itu dan membuat saya lebih giat untuk mempelajari kebenaran dalam Alkitab. Dalam surat Yudas, dia menggunakan bahasa yang tegas tentang guru-guru palsu, malah dia menggesa orang percaya supaya “terus berjuang untuk iman” (Yudas 1:3). Dia mengingatkan mereka, ”Pada akhir zaman nanti, orang akan tampil dan mengejek-ejekmu … Merekalah yang menjadikan jemaah porak-peranda. Mereka tidak dipimpin oleh Roh (ayat 18-19). Bagaimanapun, Yudas juga menyeru orang percaya untuk mengamalkan “sikap belas kasihan kepada orang yang kurang yakin” (ayat 22) dengan mendampingi mereka dan menunjukkan belas kasihan tanpa menjejaskan kebenaran.
Harold dan Pam mengetahui saya tidak berakar umbi dalam iman saya, tetapi mereka tidak menghakimi saya, malah mula menawarkan persahabatan dan kemudian kebijaksanaan mereka. Semoga Tuhan memberi kita kasih sayang dan kesabaran yang sama, disertai kebijaksanaan dan belas kasihan semasa kita berinteraksi dengan orang yang mempunyai keraguan dalam iman.