Perjalanan misi jangka pendek pertama saya adalah ke hutan Amazon di Brazil untuk membantu membina sebuah gereja di tepi sungai. Pada suatu petang, kami melawat beberapa buah rumah di kawasan itu yang mempunyai penapis air. Apabila tuan rumah kami menuangkan air perigi keruh di bahagian atas alat yang aneh itu, dalam beberapa minit sahaja semua kekotoran telah dikeluarkan dan dibersihkan, air minuman yang jernih muncul. Di ruang tamu rumah orang itu, saya melihat refleksi tentang apa yang dimaksudkan dengan disucikan oleh Kristus.
Ketika kita mula-mula datang kepada Yesus dengan rasa bersalah dan malu, serta meminta Dia mengampuni kita dan menerima-Nya sebagai Penyelamat kita, Dia membersihkan kita daripada dosa-dosa dan menjadikan kita baharu. Kita disucikan seperti air yang keruh diubah menjadi air minuman yang bersih. Alangkah gembiranya dapat mengetahui bahawa kita berada dalam kedudukan yang benar di hadapan Tuhan kerana pengorbanan Yesus (2 Korintus 5:21) dan mengetahui bahawa Tuhan menghapuskan dosa kita sejauh timur dari barat (Mazmur 103:12).
Tetapi rasul Yohanes mengingatkan kita bahawa ini tidak bermakna kita tidak akan berbuat dosa lagi. Apabila kita melakukan dosa, kita boleh diyakinkan oleh imej penapis air dan berasa tenang dengan mengetahui bahawa apabila “kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan berlaku adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala kesalahan” (1 Yohanes 1:9).
Marilah hidup dengan penuh keyakinan dan mengetahui bahawa kita sentiasa disucikan oleh Kristus.