Suzy duduk menangis di luar unit rawatan rapi hospital—dia seolah-olah ditenggelamkan oleh gelombang ketakutan yang dahsyat. Paru-paru bayinya yang berusia 2 bulan dipenuhi dengan cecair, dan para doktor berkata bahawa mereka sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan bayinya, tetapi tidak ada jaminan. Pada saat itu, Suzy berkata bahawa dia “merasakan sentuhan Roh Kudus yang lembut dan manis, menyedari dia untuk beribadat kepada Tuhan.” Oleh sebab tiada tenaga untuk menyanyi, Suzy memainkan lagu pujian dalam telefonnya selama 3 hari yang seterusnya di hospital. Apabila dia beribadat kepada Tuhan, dia menemukan harapan dan kedamaian. Hari ini, dia berkata bahawa pengalaman itu mengajarnya bahawa “ibadat tidak mengubah Tuhan, tetapi ibadat pasti akan mengubah anda.”
Ketika Daud menghadapi keadaan yang terdesak, dia berseru kepada Tuhan dalam doa dan pujian (Mazmur 30:8). Seorang pengulas menyatakan bahawa pemazmur berdoa “memohon kasih kurnia Tuhan dalam pujian dan transformasi”. Tuhan “telah mengubah kesedihan [Daud] menjadi tarian riang” lalu dia mengisytiharkan bahawa dia akan “menyanyikan puji-pujian untuk [Tuhan] sepanjang masa”—dalam semua keadaan (ayat 11-12). Walaupun memuji Tuhan pada waktu susah itu sukar, namun tindakan ini dapat membawa transformasi, iaitu keputusasaan menjadi harapan, ketakutan menjadi iman. Tuhan juga boleh menggunakan teladan kita untuk menggalakkan dan mentransformasikan orang lain (ayat 4-5).
Kesihatan bayi lelaki Suzy dipulihkan atas kasih kurnia Tuhan. Walaupun bukan semua cabaran dalam hidup akan berakhir seperti yang kita harapkan, Tuhan boleh mentransformasikan kita dan memenuhi kita dengan sukacita yang diperbaharu (ayat 11), apabila kita beribadat kepada-Nya biarpun kita dalam kesusahan.