Tepukan yang gemuruh kedengaran di dewan sekolah ketika pelajar-pelajar terbaik menerima sijil kecemerlangan atas pencapaian akademik. Tetapi program itu belum tamat. Anugerah seterusnya adalah diberikan kepada pelajar-pelajar yang bukan “terbaik”, tetapi mencapai kemajuan yang tinggi. Mereka belajar keras untuk meningkatkan gred yang rendah, membetulkan tingkah laku, dan komited untuk meningkatkan kehadiran mereka di kelas. Ibu bapa mereka terharu dan memberi tepukan hangat ketika melihat anak-anak mereka berubah ke peringkat yang lebih baik—tidak lagi melihat pada kelemahan mereka dahulu, tetapi melihat perubahan mereka dalam padangan yang baru.
Senario yang mencuit hati ini adalah gambaran tentang bagaimana Bapa syurgawi memandang diri kita—bukan kehidupan lampau kita tetapi hidup kita sekarang, dalam Kristus, sebagai anak-anak-Nya. Yohanes menulis, “Namun demikian, Dia memberikan hak menjadi anak Allah kepada mereka yang menerima-Nya dan percaya dalam nama-Nya” (Yohanes 1:12).
Wah, inilah perspektif yang penuh kasih! Paulus memperingatkan orang yang baru percaya kepada Yesus bahawa dahulunya, “Kamu telah mati akibat kesalahan dan dosa” (Efesus 2:1). Tetapi pada hakikatnya, “Kerana kita ini buatan-Nya, dicipta dalam Kristus Yesus untuk melakukan perbuatan baik, yang telah disediakan terdahulu oleh Allah untuk kita lakukan” (ayat 10).
Petrus mengatakan bahawa kita adalah “umat terpilih, para imam raja, bangsa suci, umat-Nya sendiri, yang dipilih untuk mengisytiharkan puji-pujian bagi Dia yang telah memanggilmu daripada kegelapan kepada cahaya-Nya yang gemilang,” dan kita sekarang adalah “umat Allah” (1 Petrus 2:9-10). Dalam pandangan Tuhan, kehidupan lama kita tidak lagi diperkirakan. Marilah kita melihat diri kita seperti Tuhan—dan ikut jalan yang baru.