Phil Stringer sudah menunggu selama lapan belas jam untuk menaiki satu penerbangan yang ditunda akibat ribut petir. Walau bagaimanapun, kesabaran dan ketabahannya telah membuahkan hasil. Dia bukan sahaja dapat terbang ke destinasinya dan sempat menghadiri mesyuarat perniagaan yang penting, dia juga merupakan satu-satunya penumpang dalam penerbangan itu! Semua penumpang yang lain telah berputus asa atau membuat rancangan lain. Para petugas kapal terbang menghidangkan apa sahaja makanan yang dipesannya. Stringer berkata, “Saya pasti duduk di barisan hadapan. Mengapa tidak, sebab ‘kan saya seorang sahaja penumpang dalam pesawat ini” Memang berbaloi untuk menunggu dengan hasilnya.
Abraham juga telah menempuhi sesuatu yang seperti satu penantian yang sangat lama. Semasa dia dikenali sebagai Abram, Tuhan berkata bahawa Dia akan menjadikan Abram “suatu bangsa yang besar” dan “melalui [dia], semua kaum di bumi akan diberkati” (Kejadian 12:2-3). Namun lelaki yang berumur tujuh puluh lima tahun itu ada satu masalah (ayat 4): bagaimanakah dia dapat menjadi bangsa yang besar tanpa waris? Walaupun kadangkala dia berasa ragu-ragu tentang janji Tuhan (dia dan isterinya Sarai cuba “membantu” Tuhan memenuhi janji-Nya dengan cara yang salah—lihat 15:2-3; 16:1-2). Ketika dia “telah berumur seratus tahun … Ishak telah dilahirkan” (21:5). Kemudian penulis kitab Ibrani juga menyanjung iman Abraham (Ibrani 11:8-12).
Menunggu memang susah. Seperti Abraham, kita mungkin melakukan kesilapan ketika menunggu. Tetapi dengan doa dan percaya pada rancangan Tuhan, semoga Dia menolong kita terus tabah. Dalam Tuhan, memang berbaloi untuk menunggu.