Kebanyakan tiga ratus orang penduduk di Whittier, Alaska, tinggal di satu kompleks pangsapuri besar, dan itulah sebabnya Whittier dipanggil sebagai “bandar di bawah satu bumbung.” Amie yang pernah tinggal di pangsapuri tersebut berkata, “Saya tidak perlu melangkah keluar dari bangunan ini─kedai runcit, khidmat notari awam, sekolah dan pejabat pos berada di tingkat bawah, kami hanya perlu menaiki lif!”
“Disebabkan kehidupan yang sangat selesa, saya selalu ingin hidup seorang diri, saya sering fikir bahawa saya tidak memerlukan sesiapa pun,” kongsi Amie. “Tetapi penduduk pangsapuri begitu mesra. Mereka saling menjaga. Saya mendapati bahawa mereka memerlukan saya, dan saya memerlukan mereka.
Seperti Amie, kadang-kadang kita mungkin mahu hidup menyendiri dan elak untuk berinteraksi dengan komuniti, kerana pilihan ini memang kelihatan kurang membebankan! Tetapi Alkitab mengatakan bahawa orang yang beriman kepada Yesus harus mempunyai keseimbangan untuk mempunyai masa persendirian dan masa persekutuan yang sihat dengan orang percaya yang lain. Rasul Paulus menyamakan orang-orang Kristian dengan tubuh manusia. Sebagaimana tubuh manusia terdiri daripada anggota- anggota yang mempunyai tugas tersendiri, setiap orang percaya juga mempunyai peranan yang berbagai (Roma 12:4). Seperti setiap bahagian badan tidak boleh wujud bersendirian, orang percaya tidak seharusnya menjalani kehidupan secara keseorangan (ayat 5). Hanya di dalam komuniti, kita dapat menggunakan kurnia kita (ayat 6-8; 1 Petrus 4:10) dan bertumbuh menjadi seperti Yesus (Roma 12:9-21).
Kita memerlukan satu sama lain; kesatuan kita adalah dalam Kristus (ayat 5). Dengan pertolongan-Nya, ketika kita saling menjaga, kita dapat membina hubungan yang lebih mendalam dengan-Nya dan menunjukkan kasih-Nya kepada orang lain.