Sophia Roberts menyaksikan pembedahan jantung secara terbuka buat pertama kalinya ketika dia berusia sekitar sebelas tahun. Walaupun hal ini kelihatan agak awal untuk seorang kanak-kanak melihat prosedur perubatan sedemikian, ini sebab ayahnya, Dr. Harold Roberts Jr., merupakan seorang pakar bedah jantung. Pada tahun 2022, Sophia yang kini berusia tiga puluh tahun dan merupakan seorang doktor bedah, bekerjasama dengan ayahnya dan berjaya melakukan penggantian injap aorta. Harold berkata, “Saya mengajar anak saya menunggang basikal sewaktu dia masih kecil … Sekarang, saya dapat mengajar dia membedah jantung manusia, bukankah ini sesuatu yang sungguh menakjubkan!”
Walaupun kebanyakan kita tidak berpeluang untuk menurunkan kemahiran pembedahan kepada anak kita, Salomo menerangkan pentingnya untuk mengajar hal lain kepada generasi akan datang—memuliakan Tuhan dan jalan-Nya. Dengan penuh semangat, raja yang bijak ini berkongsi dengan anaknya apa yang dipelajarinya dalam hubungannya dengan Tuhan: “Hai anakku, …Percayalah kepada TUHAN dengan sepenuh hatimu” (Amsal 3:1, 5), “takutlah kepada TUHAN” (ayat 7), “Muliakanlah TUHAN” (ayat 9), dan “jangan pandang sepi pengajaran TUHAN” (ayat 11). Salomo tahu bahawa Tuhan mengasihi anak-anak-Nya yang sanggup menerima teguran dan bimbingan-Nya (ayat 12).
Marilah kita mengajar generasi akan datang tentang apa yang dimaksudkan dengan mempercayai, menghormati dan memuliakan Tuhan, malah dengan rendah hati dibentuk oleh Tuhan kita yang hebat dan menakjubkan. Kita dapat bekerjasama dengan Tuhan untuk mewariskan kepercayaan kepada generasi baru, tugas ini merupakan satu keistimewaan penting dan sungguh menakjubkan!