Brad berpindah ke bandar baharu dan segera beribadat di sebuah gereja. Dia menghadiri ibadah itu selama beberapa minggu, dan kemudian pada suatu Ahad, selepas ibadah dia bercakap dengan pastor tentang keinginannya untuk melayani dalam mana-mana pelayanan yang ada keperluan. Dia berkata, “Saya hanya mahu ‘memegang penyapu.’ ” Dia pun mula membantu dengan menyediakan kerusi untuk ibadah dan membersihkan tandas. Kemudiannya gereja mendapati kurnia Brad adalah dalam mengajar, tetapi dia sanggup melakukan apa sahaja.
Yesus mengajar dua orang murid-Nya, Yakobus dan Yohanes, dan ibu mereka satu pelajaran dalam pelayanan. Ibu mereka meminta agar anak-anaknya mendapat kedudukan terhormat di di sebelah kiri dan kanan Kristus apabila Dia bertakhta dalam kerajaan-Nya (Matius 20:20-21). Murid-murid yang lain mendengar tentang hal itu dan menjadi marah kepada mereka. Mungkinkah mereka juga mahukan kedudukan itu untuk diri mereka sendiri? Yesus memberitahu mereka bahawa menggunakan kuasa ke atas orang lain bukanlah cara untuk hidup (ayat 25-26), sebaliknya melayani orang adalah yang paling penting. “Sesiapa yang ingin menjadi orang besar dalam kalanganmu mestilah melayan kamu” (ayat 26).
Kata-kata Brad tentang “memegang penyapu” adalah gambaran yang praktikal untuk apa yang setiap kita boleh lakukan dalam komuniti dan gereja kita untuk melayani Kristus. Brad menggambarkan keghairahan hidupnya untuk Tuhan dengan cara ini: “Saya ingin melayani untuk kemuliaan Tuhan, kebaikan dunia, dan kegembiraan diri sendiri.” Bagaimanakah anda dan saya boleh “memegang penyapu” dan pada masa yang sama dipimpin oleh Tuhan?