Mag telah menantikan perjalanan yang dirancangnya untuk ke negara lain. Namun dia berdoa terlebih dahulu seperti yang biasa dilakukannya. “Kita hanya pergi bercuti,” kata seorang rakan. “Mengapa kamu perlu tanya kepada Tuhan?” Bagaimanapun, Mag percaya untuk menyerahkan segala-galanya kepada-Nya. Kali ini, dia merasakan Tuhan mendorongnya untuk membatalkan perjalanan tersebut. Dia menuruti-Nya, dan kemudian—ketika dia sepatutnya berada di sana—wabak berlaku di negara itu. “Saya rasa Tuhan sedang melindungi saya,” katanya.
Nuh juga bergantung pada perlindungan Tuhan semasa dia dan keluarganya menunggu di dalam bahtera selama hampir dua bulan selepas banjir surut. Selepas dikurung selama lebih sepuluh bulan, dia pasti bersemangat untuk keluar. Lagipun, “air surut sepenuhnya dari permukaan bumi” dan “permukaan tanah sudah kering” (Kejadian 8:13). Tetapi Nuh tidak hanya bergantung pada apa yang dilihatnya; sebaliknya, dia meninggalkan bahtera itu hanya apabila disuruh oleh Tuhan (ayat 15-19). Dia percaya bahawa Tuhan mempunyai sebab yang kukuh untuk penantian yang berpanjangan itu—mungkin tanah itu belum sepenuhnya selamat.
Semasa kita berdoa tentang keputusan dalam hidup kita, mari kita menggunakan kelebihan yang diberikan Tuhan dan menunggu pimpinan-Nya, kita boleh percaya kepada masa-Nya, kerana kita mengetahui bahawa Pencipta kita yang bijak tahu apa yang terbaik untuk kita. Seperti yang dinyatakan oleh pemazmur, “aku tetap percaya kepada-Mu, ya TUHAN … Usiaku berada dalam tangan-Mu” (Mazmur 31:14-15).