“Turun!” kawan saya berkata dengan tegas kepada anaknya selepas dia naik ke bangku gereja dan melambaikan tangannya. “Saya mahu pastor melihat saya,” dia menjawab dengan polos. “Jika saya tidak berdiri, dia tidak akan melihat saya.”
Walaupun berdiri di bangku gereja mungkin tidak digalakkan di kebanyakan gereja, anak lelaki kawan saya mempunyai pendapat yang baik. Berdiri dan melambai-lambaikan tangannya sudah tentu ialah satu cara untuk dilihat dan menarik perhatian pastor.
Apabila kita cuba mendapatkan perhatian Tuhan, kita tidak perlu risau bahawa Dia tidak melihat kita. Tuhan melihat setiap kita sepanjang masa. Dia ialah Tuhan yang tetap sama, Dia yang telah mendedahkan diri-Nya kepada Hagar ketika dia berada pada titik yang paling rendah, paling sunyi, dan paling mengecewakan dalam hidupnya. Dia diperalatkan dan diberikan kepada Abram oleh isterinya, Sarai, untuk melahirkan seorang anak lelaki (Kejadian 16:3). Apabila dia hamil, Abram membenarkan isterinya menganiaya Hagar: “Maka Sarai menindas Hagar sehingga larilah Hagar daripadanya” (ayat 6).
Hamba yang melarikan diri ini mendapati dirinya keseorangan, mengandung dan sengsara. Namun di tengah-tengah keadaannya yang terdesak di padang gurun, Tuhan dengan belas kasihan mengutus seorang malaikat untuk bercakap dengannya. Malaikat memberitahunya bahawa “TUHAN telah mendengar jeritan kesusahan[nya]” (ayat 11). Dia menjawab dengan berkata, “Engkaulah Allah Yang Melihat” (ayat 13).
Inilah suatu kesedaran yang membuka matanya, terutama di tengah-tengah gurun. Tuhan melihat Hagar dan berbelas kasihan kepadanya. Ketahuilah tidak kira betapa sukarnya situasi yang anda berada, Dia melihat anda.