Negeri Mizoram di timur laut India perlahan-lahan keluar daripada kemiskinan. Walaupun mereka kekurangan pendapatan, sejak Injil pertama kali datang ke kawasan ini, orang yang percaya kepada Yesus telah mengamalkan tradisi tempatan yang dipanggil “segenggam beras.” Mereka yang menyediakan makanan setiap hari mengkhususkan segenggam beras yang belum dimasak untuk diberikan kepada gereja. Gereja Mizoram, walaupun miskin mengikut standard dunia, telah memberikan berjuta-juta wang kepada ladang penginjilan dan menghantar mubaligh ke seluruh dunia. Ramai orang dari negeri asal mereka telah mempercayai Kristus.
Dalam 2 Korintus 8, Paulus memberikan huraian yang sama tentang sebuah gereja yang menghadapi cabaran yang sama. Jemaah-jemaah di Makedonia adalah miskin, tetapi itu tidak menghalang mereka memberi dengan gembira dan berlimpah-limpah (ayat 1-2). Mereka melihat pemberian mereka sebagai satu keistimewaan dan memberi “lebih daripada” kemampuan mereka (ayat 3) untuk bergandingan dengan Paulus dalam pelayanan. Mereka faham bahawa mereka hanyalah pengurus sumber Tuhan. Memberi ialah cara untuk menunjukkan kepercayaan mereka kepada-Nya, yang menyediakan segala keperluan kita.
Paulus menggunakan jemaah di Makedonia untuk menggalakkan jemaah di Korintus mempunyai pendekatan yang sama dalam hal memberi. Jemaah di Korintus unggul “dalam segala hal dalam iman, kata-kata, pengetahuan, kesungguhan dan dalam kasih.” Sekarang mereka perlu “kaya juga dalam pekerjaan yang mulia itu” (ayat 7).
Seperti jemaah di Makedonia dan Mizoram, kita juga boleh mencerminkan kemurahan hati Bapa kita dengan memberi apa yang kita miliki secara murah hati.