Menjual rumah ibu saya? Keputusan itu membebankan hati saya setelah ibu saya yang merupakan seorang balu meninggal dunia. Sentimen mempengaruhi perasaan saya. Namun, saya dan adik perempuan saya menghabiskan dua tahun membersihkan dan membaiki rumahnya yang kosong, akhirnya menerima hakikat untuk menjualnya. Ini berlaku pada tahun 2008, dan kemelesetan global menyebabkan tiada orang ingin membeli rumah ini. Kami terus menurunkan harga tetapi tidak mendapat tawaran. Kemudian, semasa saya membaca Alkitab pada suatu pagi, petikan ini menarik perhatian saya: “Jika tidak ada lembu, maka bersihlah kandang, tetapi dengan kekuatan lembu banyaklah hasil” (Amsal 14:4).
Amsal bercakap tentang pertanian, tetapi saya tertarik dengan mesejnya. Kandang yang tiada lembu akan tetap kemas, tetapi hanya kandang lembu yang ada lembu dan mengalami segala “kekotoran” akan menghasilkan tuaian. Atau, bagi kami, rumah ini mungkin memiliki nilai dan warisan keluarga yang istimewa. Jadi saya menelefon adik perempuan saya dan bertanya, “Bagaimana jika kita tidak menjual rumah ibu? Kita boleh menyewakannya.”
Pilihan itu mengejutkan kami. Kami tidak bercadang untuk menjadikan rumah ibu sebagai satu bentuk pelaburan. Tetapi Alkitab bukan sahaja sebagai panduan rohani, ia juga memberikan kebijaksanaan yang praktikal. Sebagaimana Daud berdoa, “Tunjukkanlah aku jalan-Mu, ya TUHAN, ajarkanlah aku mengikut jalan-Mu” (Mazmur 25:4).
Setelah membuat pilihan ini, saya dan adik perempuan saya telah diberkati untuk menyewakan rumah ibu kepada banyak keluarga yang indah. Kami juga mempelajari kebenaran yang mengubah hidup ini: Kitab Suci boleh membimbing kita untuk membuat keputusan. “Firman-Mu lampu bagi kakiku dan cahaya bagi jalanku,” tulis pemazmur (Mazmur 119:105). Semoga kita berjalan dalam cahaya Tuhan.