Saya selalu berdoa dan mengambil berat akan seorang rakan penulis, yang telah menyiarkan kisahnya dalam talian tentang perjalanannya sebagai pejuang kanser. Secara silih berganti dia akan berkongsi maklumat terkini tentang kesakitan dan cabaran fizikalnya, bahan doa yang disertakan ayat Alkitab dan pujian kepada Tuhan. Saya berasa sungguh terharu untuk melihat senyumannya yang penuh semangat, sama ada ketika dia menunggu rawatan di hospital atau memakai skarf di rumah kerana rambutnya gugur. Meskipun menghadapi cabaran, dia tidak pernah lupa untuk mendorong orang lain mempercayai Tuhan ketika dalam cubaan hidup.
Apabila kita mengalami kesukaran, mungkin sukar untuk mencari alasan untuk bersyukur dan memuji Tuhan. Walau bagaimanapun, Mazmur 100 memberi kita alasan untuk bergembira dan memuji Tuhan walaupun menghadapi cabaran. Pemazmur berkata, “Ketahuilah bahawa TUHAN, Dialah Allah. Dialah yang telah menjadikan kita, dan kita milik-Nya; kita umat-Nya dan kawanan domba di padang rumput-Nya” (ayat 3). Dia menambah, “Kerana TUHAN baik, kasih-Nya untuk selama-lamanya; dan kesetiaan-Nya kekal turun-temurun, zaman-berzaman” (ayat 5).
Walau apa pun cubaan yang kita hadapi, kita boleh berasa lega kerana mengetahui bahawa Tuhan dekat kepada hati kita yang patah (34:18). Semakin banyak masa yang kita luangkan bersama Tuhan dalam doa dan membaca Alkitab, semakin kita mampu masuk “ke pintu pagar-Nya dengan mengucap syukur dan ke pekarangan-Nya dengan pujian” dan bersyukur serta memberkati nama-Nya (100:4). Kita boleh bersorak riang kepada TUHAN (ayat 1) terutamanya apabila kita berada dalam kesusahan, kerana Tuhan kita setia dan boleh dipercayai.