Apabila rakan saya dan suaminya berusaha untuk mendapatkan cahaya mata, doktor mengesyorkan dia menjalani prosedur perubatan. Tetapi kawan saya teragak-agak. “Bukankah doa sudah mencukupi untuk menyelesaikan masalah kita?” dia bertanya. “Adakah saya benar-benar perlu melakukan prosedur itu?” Rakan saya cuba mencari jawapan tentang peranan tindakan manusia dalam pekerjaan Tuhan.
Kisah tentang Yesus memberi makan kepada orang ramai boleh membantu kita mencari jawapan (Markus 6:35-44). Kita mungkin tahu bagaimana kisah itu berakhir—beribu-ribu orang secara ajaib diberi makan hanya dengan sedikit roti dan beberapa ekor ikan (ayat 42). Tetapi perhatikan siapa yang memberi makan kepada orang ramai? Para murid (ayat 37). Dan siapa yang menyediakan makanan? Para murid (ayat 38). Siapa yang mengedarkan makanan dan membersihkannya selepas itu? Para murid (ayat 39-43). “Kamu berilah mereka makan,” kata Yesus (ayat 37). Yesus melakukan mukjizat, dan disertakan dengan tindakan para murid.
Tanaman yang subur adalah pemberian Tuhan (Mazmur 65:9-10), tetapi seorang petani tetap harus mengusahakan tanah itu. Yesus menjanjikan Petrus dia akan ada “tangkapan” ikan, tetapi nelayan itu masih perlu menebarkan jalanya (Lukas 5:4-6). Tuhan boleh menjaga bumi dan melakukan keajaiban tanpa kita, tetapi biasanya Dia memilih untuk bekerja dengan manusia.
Rakan saya menjalani prosedur dan kemudiannya berjaya hamil. Walaupun ini bukan formula untuk mengalami mukjizat, ia adalah pengajaran untuk rakan saya dan saya. Tuhan sering melakukan mukjizat-Nya melalui kaedah yang telah diletakkan-Nya dalam tangan kita.