Ikan mentah dan air hujan, inilah bekalan makanan bagi seorang anak kapal dari Australia yang bernama Timothy selama tiga bulan, apabila dia terdampar di atas kapal katamarannya yang rosak akibat ribut. Dia sudah kehilangan harapan, tambahan lagi dia terhumban kira-kira sejauh 1,900 kilometer dari daratan di Lautan Pasifik. Mujurnya sebuah anak kapal bot tuna dari Mexico ternampak botnya yang rosak itu dan menyelamatkannya. Kemudian, lelaki yang kurus dan berkulit kusam itu pun berkata, “Terima kasih banyak-banyak, kepada kapten dan syarikat nelayan yang telah menyelamatkan nyawa saya!”
Timothy mengucap syukur setelah mengalami penderitaannya, tetapi nabi Daniel mengungkapkan hati yang bersyukur sebelum, semasa, dan selepas krisis. Setelah dibuang ke Babel dari Yehuda bersama orang-orang Yahudi yang lain (Daniel 1:1-6), Daniel mula memegang kuasa tinggi dan itu menyebabkan dia diancam oleh pemimpin-pemimpin lain yang berkomplot untuk membunuhnya (6:1-7). Musuhnya menyuruh raja Babel menandatangani titah yang menyatakan bahawa “siapa pun yang memohonkan sesuatu dalam tiga puluh hari ini kepada tuhan” mana pun selain raja Babel akan “dihumban ke dalam gua singa” (ayat 7). Apakah yang dilakukan oleh Daniel, seorang yang mengasihi dan melayani Tuhan yang benar? Dia “bertelut, berdoa, dan mengucap syukur kepada Allahnya, seperti yang biasa dilakukannya selama ini” (ayat 10). Dia mengucap syukur, dan hatinya yang bersyukur mendapat ganjaran ketika Tuhan telah menyelamatkan nyawanya dan memberikan penghormatan kepadanya (ayat 26-28).
Seperti yang ditulis oleh rasul Paulus, semoga Tuhan menolong kita bersyukur “dalam segala keadaan” (1 Tesalonika 5:18). Sama ada kita sedang menghadapi krisis atau baru sahaja melaluinya, maklum balas kita yang penuh rasa kesyukuran akan memuliakan Dia dan membantu kita untuk mengekalkan iman kita.